KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy berharap Tahun Baharu Cina yang akan disambut Selasa ini dapat memperkukuhkan perpaduan serta interaksi sesama kaum.
Tradisi kunjung-mengunjung jiran tetangga, katanya perlu diteruskan kerana amalan itu dapat merapatkan hubungan persahabatan selain memeriahkan sambutan perayaan itu.
“Saya berharap sambutan tahun ini meriah dengan tradisi kunjung-mengunjung jiran tetangga dan merapatkan perhubungan dan persahabatan sesama kita.
“Tradisi ini merupakan ‘bridge-builder’ (penghubung) kepada usaha memperkukuhkan perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina hari ini.
Beliau juga mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dengan mengadakan rondaan di kawasan perumahan secara sukarela bagi mencegah sebarang kegiatan jenayah ketika musim perayaan.
“Saya menyeru agar aktiviti rondaan di kawasan perumahan dilaksanakan secara sukarela tidak kira Skim Rondaan Sukarela (SRS) atau orang awam bagi mencegah dan menjaga keselamatan kejiranan,” katanya.
— BERNAMA