Home English News Usaha bawa pulang 47 rakyat Malaysia disegerakan- Saifuddin

Usaha bawa pulang 47 rakyat Malaysia disegerakan- Saifuddin

1246
0
SHARE
Ad

KUANTAN: Tumpuan utama akan diberikan kepada usaha membawa pulang kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan di Poi Pet, Kemboja dengan segera dan selamat, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau menambah setakat ini, kerajaan Kemboja memberikan kerjasama yang baik dan membenarkan pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh melawat mereka yang ditahan sejak 11 Dis lepas.

Katanya, usaha membawa pulang itu turut dilakukan oleh Anggota Parlimen Julau Larry Sng Wei Shien, yang memaklumkan 44 daripada 47 rakyat yang ditahan ialah anak muda Sarawak.

#TamilSchoolmychoice

“Kita mendapatkan info terkini mengenai situasi ini. Pegawai kita juga sudah berhubung dengan mereka untuk memastikan mereka berada dalam keadaan baik. Semua keluarga yang terlibat juga sudah maklum dengan penahanan itu,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang di Wisma Persekutuan di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Zolkopli Dahalan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Salehuddin Ishak.

Mengulas mengenai dakwaan mereka ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian, Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata setakat ini, terdapat pelbagai versi yang diterima daripada rakyat terlibat.

“Bagaimanapun setakat ini pegangan kita adalah mereka dijanjikan kerja dengan gaji lumayan di sana…ada tuduhan yang berkaitan dengan perkara lain namun masih belum dapat dipastikan kesahihannya.

“Kita pegang ini adalah ‘job scam’ (penipuan pekerjaan) dan kita tegaskan yang kita menghormati undang-undang sesebuah negara tetapi (dalam masa sama) kita juga hendak pastikan adakah tuduhan itu benar,” katanya.

Semalam, Wisma Putra menerusi kenyataan medianya mengesahkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, yang dimaklumkan secara lisan oleh polis Bantey Meanchey pada 28 Dis lalu.

Media turut melaporkan Sng sebagai berkata sebahagian besar mereka yang ditahan berusia 19 hingga 44 tahun yang berasal daripada keluarga miskin dan diumpan dengan gaji lumayan di negara tersebut.

-BERNAMA