Home English News Pengundi DUN Rantau diminta keluar mengundi Sabtu ini- SPR

Pengundi DUN Rantau diminta keluar mengundi Sabtu ini- SPR

1432
0
SHARE
Ad

SEREMBAN: Pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau  diminta menunaikan tanggungjawab mereka untuk mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PKR) DUN itu, Sabtu ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun berkata pengundi juga dinasihatkan merancang masa dan keluar pada awal pagi serta tidak memilih untuk keluar mengundi pada saat-saat akhir walaupun waktu mengundi telah ditetapkan dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

“Bagi pengundi yang telah menerima Kad Pengundi atau yang telah mengetahui maklumat pengundian, mereka boleh terus ke saluran mengundi dan tidak perlu lagi membuat semakan di barung semakan SPR,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Katanya, pada hari pengundian, pengundi perlu membawa kad pengenalan dan Kad Pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran mengundi.

“Kad Pengundi dan catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya.

Bagaimanapun, Azhar Azizan berkata bagi pengundi yang tidak menerima Kad Pengundi kerana telah berpindah atau belum mengetahui maklumat pengundian, mereka disaran agar membuat semakan lebih awal sebelum hari mengundi.

Selain portal rasmi SPR di www.spr.gov.my, semakan boleh dibuat dengan menghubungi talian 03-8892701, aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN)

Sebanyak 20,793 orang daripada 20,804 orang pengundi biasa layak mengundi pada Sabtu ini dan daripada jumlah tersebut, seramai 11 orang telah mengundi secara pos.

PRK DUN Rantau, Sabtu ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan, Dr S. Streram, calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

— BERNAMA