Home English News Dr Mahathir, Abe adakan pertemuan 2 hala

Dr Mahathir, Abe adakan pertemuan 2 hala

778
0
SHARE
Ad

TOKYO: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Jumaat mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya dari Jepun Shinzo Abe di Pejabat Perdana Menteri di Nagato-cho, Chiyoda-ku di sini.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan perkara-perkara yang menjadi minat dan kepentingan bersama bagi mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala dalam banyak bidang meliputi perdagangan, pendidikan, pertahanan dan lain-lain.

Dr Mahathir, dalam ucapan pembukaannya, berkata Malaysia amat menghargai sokongan dari Jepun dan berharap hubungan baik yang telah sedia terjalin antara kedua-dua negara akan berterusan.

#TamilSchoolmychoice

“Kami juga gembira kerana masyarakat perniagaan di Jepun telah menyatakan ikrar sokongan mereka kepada pelaburan dan kami amat mengharap untuk mengadakan lebih banyak kolaborasi dengan Jepun,” katanya.

Abe dalam ucapannya pula berkata Jepun akan terus menyokong Malaysia dan mengharapkan hubungan Jepun dan Malaysia diperkukuh semula dalam pelbagai bidang dan sektor yang sesuai dengan era baru kini.

“Dasar Pandang Ke Timur adalah lampu isyarat (beacon) dalam hubungan dua hala antara Jepun dan Malaysia,” kata beliau.

Dasar Pandang Ke Timur yang diperkenalkan oleh Dr Mahathir selepas beliau menjadi perdana menteri buat kali pertama pada 1981, menggalakkan Malaysia mencontohi etika kerja dan teknik perniagaan negara-negara Timur, seperti Jepun dan Korea Selatan.

Abe turut menyatakan kekagumannya terhadap inisiatif Malaysia yang tidak henti-henti memperbaiki ketelusan dan mengurangkan hutang negara.

Dr Mahathir kini pada hari terakhir lawatan kerja tiga harinya ke Jepun di mana beliau turut menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa mengenai Masa Depan Asia ke-25 atau Persidangan Nikkei.

Ini adalah kali keempat Dr Mahathir melawat Jepun setelah menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi kali kedua selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas.

— BERNAMA