Home English News Kes rotan pelajar selesai

Kes rotan pelajar selesai

1227
0
SHARE
Ad

JOHOR BAHRU: Kes guru merotan seorang pelajar di sebuah sekolah, di sini, Selasa lepas, akhirnya selesai apabila kedua-dua pihak iaitu pelajar dan ibunya serta guru yang terlibat memohon maaf sesama mereka sendiri, hari ini.

Permohonan maaf itu dilakukan oleh mereka di hadapan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan dan juga Pengarah Pendidikan Negeri Johor Azman Adnan dalam satu pertemuan di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Johor Bahru, kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Pertemuan itu hasil usaha pelbagai pihak termasuk Jabatan Pendidikan Negeri yang mahu mencari jalan penyelesaian ‘menang-menang’ kepada kedua-dua pihak tanpa melibatkan undang-undang.

#TamilSchoolmychoice

Aminolhuda berkata dengan penyelesaian itu, beliau berharap semua pihak tidak memanjangkan isu terbabit kerana telah dapat ditangani dengan baik.

“Terima kasih kepada PPD Johor Bahru dan pihak sekolah kerana telah cepat mengambil tindakan dengan mengadakan sesi permuafakatan antara yang terlibat yang menghasilkan penarikan balik laporan polis dibuat oleh ibu pelajar dan guru memohon maaf secara terbuka kepada murid dan ibunya atas tindakan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Aminolhuda berkata beliau telah memberi peringatan kepada pihak sekolah supaya kejadian seumpama ini tidak berulang dan pada masa sama setiap warga pendidik haruslah dipastikan memahami serta menguasai peraturan-peraturan sedia ada agar dapat mengawal tindakan mereka dalam menangani disiplin murid.

Kejadian pada Selasa itu dipercayai berlaku apabila pelajar berkenaan, 13, telah menegur guru lelaki dengan ayat “Ah Qua Lao Shi” yang bermaksud “Cikgu Pondan” ketika gurunya lalu di koridor kelas tanpa sebab.

Teguran itu mengakibatkan gurunya sangat marah dan memukul Wong di bahagian kiri tangan dan kaki dengan menggunakan rotan, sebelum satu laporan polis dibuat oleh ibu pelajar berkenaan di Balai Polis Taman Tun Aminah, Skudai, di sini.

— BERNAMA