Home English News LHDN nafi bentang sumbangan cukai berdasarkan kaum, bangsa

LHDN nafi bentang sumbangan cukai berdasarkan kaum, bangsa

767
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hari ini menafikan pembentangan kertas putih di Parlimen melibatkan laporan berhubung jumlah sumbangan cukai berdasarkan komposisi kaum dan bangsa seperti tular dalam media sosial.

LHDN dalam satu kenyataan, memaklumkan berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) agensi itu, maklumat pembayar cukai dan data kutipan cukai tidak disimpan berdasarkan komposisi kaum dan bangsa.

“Sehubungan itu, LHDN ingin menegaskan bahawa data yang ditularkan melalui media sosial tersebut adalah tidak benar dan bukan daripada sumber LHDN,” menurut kenyataan itu.

#TamilSchoolmychoice

Kenyataan itu dikeluarkan susulan agensi berkenaan mengesan satu penyebaran maklumat palsu yang tular mengenai pembentangan kertas putih oleh LHDN di Parlimen bertajuk “Siapa kata bangsa Cina & India banyak bayar cukai dekat kerajaan?”.

Menurut kenyataan itu, data dan maklumat mengenai pembayar cukai yang direkodkan dalam sistem LHDN dikategorikan mengikut komponen pembayar cukai melibatkan cukai individu, syarikat, duti setem, cukai pegangan, cukai keuntungan harta tanah (CKHT), koperasi, cukai lain dan petroleum.

“Justeru, LHDN sekali lagi ingin menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak tepat dan sahih bagi mengelak kekeliruan serta salah faham demi kebaikan bersama,” menurut kenyataan itu.

Data dan maklumat mengenai pembayar cukai mengikut komponen boleh disemak dalam portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my (Laporan Tahunan LHDNM) dan juga siaran media Kementerian Kewangan di pautan https://www.treasury.gov.my/index.php/galeri-aktiviti/siaran-media/item/4835-siaran-media-pencapaian-kutipan-cukai-langsung-bagi-tahun-2018.html.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, sila layari portal rasmi LHDN di www.hasil.gov.my atau hubungi Hasil Care Line (HCL) di talian 1800-88-5436.

— BERNAMA