Home English News Proses pengundian Tg Piai lancar- SPR

Proses pengundian Tg Piai lancar- SPR

982
0
SHARE
Ad

PONTIAN: Proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, yang bermula 8 pagi tadi, berjalan lancar tanpa sebarang insiden serius berlaku, setakat ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata beliau belum menerima sebarang aduan berhubung sebarang insiden dan suasana pengundian berlangsung dengan aman.

“…13 peratus pengundi sudah keluar mengundi setakat 9 pagi tadi.

#TamilSchoolmychoice

“Saya menyeru para pengundi supaya keluar awal sebelum tengah hari kerana  Jabatan Metreologi Malaysia meramalkan berlaku ribut petir pada sebelah petang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pusat mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Mohd Yunos Sulaiman, Pekan Nanas, di sini hari ini.

Pusat mengundi itu mempunyai seramai 2,247 pengundi dengan lima saluran.

Azhar berkata pihaknya menjangkakan 70 peratus daripada keseluruhan 52,471 pengundi di kawasan Parlimen Tanjung Piai, menunaikan tanggungjawab mereka hari ini sebelum pusat pengundian ditutup 5.30 petang.

Beliau berkata SPR yakin peratusan itu mampu dicapai malah para penganalisis turut meramalkan peratusan keluar mengundi antara 65 peratus dan 70 peratus.

“Berdasarkan tinjauan di saluran empat dan lima (di SMK Dato’ Mohd Yunos Sulaiman), ramai juga pengundi dalam kalangan orang muda di mana kita tidak boleh simpulkan bahawa orang tua sahaja keluar mengundi.

“Ramai juga para pengundi didapati turut membawa kad mengundi dan SPR juga berusaha menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengundi,” katanya menambah bahawa SPR turut menyediakan kenderaan buggy bagi kegunaan pengundi.

Azhar menyeru semua calon, parti politik dan para penyokong supaya tidak menjalankan aktiviti meraih undi hari ini dan SPR, katanya, akan menguatkuasakan undang-undang serta peraturan pilihan raya mengikut yang ditetapkan.

Setakat ini juga tiada aduan berhubung pembukaan barong panas kecuali pemerhatian mendapati ada penyokong bersorak di luar pusat pengundian tetapi suasana amat terkawal, katanya.

“Setakat memakai baju dengan logo di luar 50 meter dari pusat mengundi tanpa tindakan aktif meraih undi, itu tidak mengapa tetapi jika aktif meraih undi, itu memang tidak boleh.

“Kita akan berusaha memantau setakat mungkin, kalau ada mereka lakukan aktiviti meraih undi secara aktif, kita akan ambil tindakan,” katanya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, 21 Sept lepas, akibat komplikasi jantung.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakil Barisan Nasional, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

— BERNAMA