Home English News Perbicaraan tertuduh cemarkan Sungai Kim Kim bermula hari ini

Perbicaraan tertuduh cemarkan Sungai Kim Kim bermula hari ini

1249
0
SHARE
Ad

JOHOR BAHRU: Prosiding perbicaraan kes pembuangan sisa toksik ke Sungai Kim Kim bermula di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob dengan keempat-empat tertuduh – N. Maridass, 35: Wan Jing Chao, 34, (warga Singapura); Yap Loke Liang, 36; dan Sim Wei Der, 50, (warga Singapura) yang dilihat memasuki kamar mahkamah pada pukul 10.29 pagi ini.

Perbicaraan juga dikendalikan dua pendakwaraya iaitu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali dan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Alam Sekitar Putrajaya Nor Azura Jumuddin.

#TamilSchoolmychoice

Kes menjadi tumpuan ramai itu sepatutnya memulakan prodising perbicaraan pada 16 Okt lepas, namun ditangguhkan atas permohonan pihak pembelaan kerana peguam terlibat menghadiri perbicaraan di Mahkamah Tinggi pada hari berkenaan.

Pada 23 Mac lepas, Maridass, yang juga pemandu lori di syarikat pemprosesan tayar terpakai didakwa melupuskan buangan terjadual iaitu buangan minyak atau enap cemar berminyak ke Sungai Kim Kim, Pasir Gudang dengan menggunakan lori jenis Mitsubishi dan semi trailer tangki sawit.

Pelupusan dilakukan tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Tiga pengarah syarikat itu Jing Chao, Loke Liang dan Wei Der, didakwa bersubahat dengan Maridass untuk melupuskan barangan terjadual itu ke dalam Sungai Kim Kim menggunakan kenderaan terbabit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara pukul 12.01 tengah malam hingga 1.00 pagi, 7 Mac lepas di kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim.

Tuduhan ke atas Maridass dibuat mengikut Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang boleh dihukum di bawah 34 B(4) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun selain denda RM500,000.

Sementara itu, ketiga-tiga pengarah syarikat itu didakwa di bawah Seksyen 34B (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, dibacakan bersama dengan Seksyen 42 akta sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(3) akta sama iaitu dipenjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak melebihi RM500,000.

Maridass diwakili peguam S. Ratakrishna, Jing Chao dan Loke Liang diwakili peguam G. Subramaniam Nair dan Wei Der diwakili peguam Joshua Tay.

Ketiga-tiga pengarah syarikat itu juga dikenakan 15 lagi pertuduhan, masing-masing di bawah Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014, akta yang sama.

Pertuduhan itu kerana gagal membuat pemberitahuan mengenai buangan terjadual dan gagal menjalankan pemantauan berkala seperti mana ditetapkan akta itu.

— BERNAMA