Home English News Institusikan Muafakat Nasional? MCA, MIC tidak senada

Institusikan Muafakat Nasional? MCA, MIC tidak senada

1183
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Dua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) mempunyai pandangan berbeza berhubung cadangan menginstitusikan Muafakat Nasional, iaitu kerjasama UMNO dan PAS, yang masih tiada keputusan rasmi.

Bagi Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong,  beliau menyokong semangat Muafakat Nasional antara UMNO-PAS itu tetapi lebih selesa untuk kerjasama politik  antara parti pembangkang yang dilakukan sekarang tanpa menginstitusikannya.

Bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas Ucapan Dasar Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2019, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata setakat ini MCA tidak ada masalah dengan corak kerjasama politik sekarang asalkan tidak menyimpang daripada nilai sejagat.

#TamilSchoolmychoice

“Maknanya dalam kes tertentu tak kira parti apa, kita akan tempuh sama-sama. (Kerjasama sekarang) Ia tidak bertentangan dengan rukun negara, tidak bertentangan dengan perlembagaan,” katanya.

Lain pula pandangan Presiden MIC Tan Sri S. A. Vigneswaran yang membayangkan MIC sedia menjadi satu daripada parti yang berada di bawah Muafakat Nasional sekiranya diinstitusikan seperti Barisan Nasional (BN) yang dianggotai oleh pelbagai parti.

Katanya dengan kerjasama tersebut, parti pembangkang akan nampak lebih kuat serta mempunyai satu matlamat dan hala tuju yang sama di samping dapat mengelakkan percanggahan antara satu sama lain.

Mengulas lanjut, Vigneswaran berkata pihaknya mahu satu kerjasama yang telus dan bersistem untuk memastikan tiada percanggahan parti komponennya.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ketika ini UMNO dan PAS masih belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan untuk menginstitusikan Muafakat Nasional dan ia bergantung kepada Laporan Kajian Peringkat Jawatankuasa Teknikal kedua-dua parti itu.

— BERNAMA