Home English News Elaun menteri boleh dipotong jika bantu urus perbelanjaan negara lebih berhemah- Azmin

Elaun menteri boleh dipotong jika bantu urus perbelanjaan negara lebih berhemah- Azmin

196
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berpendapat tiada masalah untuk elaun menteri dan ahli politik dipotong bagi menyokong usaha kerajaan menguruskan perbelanjaan negara dengan lebih berhemah.

Beliau berkata adalah penting untuk kewangan negara diurus secara berhemah, tanpa berlaku ketirisan, salah guna kuasa dan rasuah, sekaligus dapat menguruskan pembangunan yang lebih baik dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kalau perlu potong, potong (elaun menteri dan ahli politik). Apa yang penting kita harus melihat keperluan hari ini untuk menguruskan kewangan secara bertanggungjawab.

“Sekiranya kerajaan hari ini meletakkan fokus untuk membanteras rasuah, amalan salah guna kuasa, berbelanja dengan berhemah… kita dapat kembali uruskan pembangunan dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata tindakan kerajaan sebelum ini yang gagal berbelanja dengan berhemah akibat amalan rasuah dan salah guna kuasa meninggalkan pengalaman pahit kepada kerajaan kini yang turut memberi kesan kepada ekonomi negara dan juga rakyat.

Mohamed Azmin mengulas cadangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya kerajaan memotong elaun ahli politik dan menteri, susulan kontroversi melibatkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dalam kalangan penjawat awam terutama doktor, ahli farmasi serta jururawat muda.

Sebelum ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerusi pekeliling pada 20 Dis menyatakan BIPK bagi penjawat awam dalam 33 Skim Perkhidmatan Kritikal akan dimansuhkan bagi pelantikan baharu mulai 1 Jan 2020.

Bagaimanapun, Syed Saddiq berkata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersetuju untuk menangguhkan pemansuhan BIPK, dan keputusannya hanya diputuskan selepas perbincangan bersama Jemaah Menteri pada persidangan pertama Januari nanti

Azmin yang juga  Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa ditemui pemberita selepas meninjau kawasan rumah banglo yang mengalami tembok pecah di Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

— BERNAMA

Comments