Home English News Pendidikan pengundi jadi keutamaan SPR pada 2020

Pendidikan pengundi jadi keutamaan SPR pada 2020

133
0
SHARE

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadikan program pendidikan pengundi keutamaannya tahun ini dan merancang untuk melawat 2,400 sekolah menengah di seluruh negara, kata Pengerusinya Datuk Azhar Azizan Harun.

“Kami akan ke sekolah dan melibatkan diri dengan pelajar tingkatan empat untuk mengadakan simulasi pilihan raya bagi memperkenalkan sistem ini kepada mereka,” katanya dan menambah modul untuk pendidikan pengundi sudah siap dan SPR negeri akan melaksanakan program itu.

“Kami akan umumkan modul ini supaya tiada pihak yang dapat menimbulkan dakwaan bahawa kami cuba mengindoktrinasikan pelajar. Kami bukan ingin mengindoktrinasi sesiapa tetapi kami mahu mendidik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, Azhar menerima kunjungan hormat daripada delegasi Jawatankuasa Pilihan Khas Pilihan Raya dan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam.

Ditanya mengapa pelajar tingkatan empat dipilih, Azhar berkata ini kerana mata pelajaran demokratik berada dalam sukatan pelajar mereka dan suruhanjaya itu tidak mahu mengganggu pelajar tingkatan lima yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti.

Mengenai perkembangan pendaftaran pemilih secara automatik bagi usia 18 tahun, Azhar berkata kontrak sistem komputer bagi perkara itu telah dimuktamadkan namun menegaskan beliau tidak mempunyai butiran mengenai kontrak berkenaan seperti syarikat terlibat dan nilai kontrak.

Menurutnya, SPR menjangkakan penguatkuasaan usia kelayakan mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik, dapat dilaksanakan pertengahan tahun hadapan.

Beliau berkata SPR juga telah menentukan lokaliti secara manual lebih dua juta orang yang dijangka menjadi pengundi baharu apabila sistem berkenaan dilaksanakan kelak.

“Bila seseorang pengundi didaftarkan sebagai pemilih, kita terpaksa melihat alamatnya untuk menentukan lokalitinya. Lokaliti ini juga akan menentukan di mana dia akan mengundi.

“Sebagai contoh, kita dah buat secara manual, sistem belum ada, undang-undang pun belum dilaksanakan, tetapi di pihak SPR, pihak sekretariat telah membuat secara manual menentukan lokaliti mereka. Apabila perkara ini dilaksanakan nanti, kita dah sedia semua dan tak payah mulakan waktu itu juga,” katanya.

Mengenai cadangan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) berkenaan penstrukturan semula SPR kepada tiga entiti bebas, Azhar berkata beliau terbuka menerima cadangan itu.

“Sekiranya terdapat cadangan untuk menubuhkan agensi berlainan untuk perjalanan pilihan raya, persempadanan semula dan sebagainya saya rasa sekiranya pembahagian fungsi itu boleh memperbaiki lagi proses yang berkenaan, maka saya menyokong perkara itu,” katanya.

Dilaporkan, ERC dalam laporan interimnya mengemukakan 49 syor reformasi pilihan raya kepada kerajaan, bagi urusan penambahbaikan sistem dan undang-undang berkaitannya di negara ini.

Antaranya penstrukturan semula SPR kepada tiga entiti iaitu SPR sebagai badan menguatkuasakan undang-undang pilihan raya; Elections Malaysia yang menjalankan urusan pilihan raya dan Suruhanjaya Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya (EBC) melaksanakan persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Ditanya mengenai pengundian dalam talian (e-voting), Azhar berkata penglibatan dan pandangan pakar dan pihak-pihak berkepentingan diperlukan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kami masih lagi mahu lebih libat urus dan mengambil pendapat-pendapat daripada pakar.

“Kami perlu memuaskan hati pengundi bahawa apa yang diundi itu dimasukkan ke dalam sistem. Itu perkara yang susah nak buktikan, dan semestinya kami takut dengan penggodam. Kami perlu meneliti perkara ini,” katanya.

— BERNAMA

Comments