Home English News Waktu bekerja fleksi di agensi kerajaan negeri Pulau Pinang

Waktu bekerja fleksi di agensi kerajaan negeri Pulau Pinang

788
0
SHARE
Ad

GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan pelaksanaan Waktu Bekerja Fleksi (WBF) di agensi-agensi kerajaan negeri menggantikan Waktu Bekerja Berperingkat (WBB) baru-baru ini.

Bagaimanapun, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Razak Jaafar berkata pemakaian Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2019 mengenai WBF di peringkat pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang diubahsuai sedikit di mana WBF yang ditetapkan adalah 30 minit sahaja berbanding satu jam mengikut pekeliling asal untuk jabatan persekutuan.

“Seperti yang kita semua telah maklum bahawa pemakaian WBF ini telah pun mula digunapakai secara rintis di beberapa kementerian dan jabatan persekutuan di Wilayah Persekutuan, Perlis, Perak, Selangor dan beberapa negeri lain dan ianya telah digunapakai sepenuhnya di semua agensi kerajaan persekutuan mulai 1 Ogos 2019.

#TamilSchoolmychoice

“Untuk Pulau Pinang, pegawai boleh menggunakan kemudahan WBF pada setiap hari bekerja dalam tempoh 30 minit selepas waktu mula bekerja pegawai, sama ada 7.30 pagi, 8.00 pagi atau 8.30 pagi,” katanya berucap pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan WBF itu juga tertakluk kepada beberapa syarat yang telah ditetapkan mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 1 Tahun 2020.

“Suka saya ingatkan bahawa WBF ini bukanlah satu hak mutlak kepada pegawai yang mana pegawai boleh diarahkan oleh Ketua Jabatan dari semasa ke semasa untuk hadir ke pejabat mengikut WBB pegawai masing-masing,” katanya.

Selain itu, Abdul Razak berkata kerajaan negeri turut meluluskan kenaikan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi pegawai-pegawai yang layak.

Beliau berkata kenaikan kadar baharu itu adalah mengikut Surat Pekeliling Perkhidmatan Negeri Bilangan 2 Tahun 2020 berkuatkuasa mulai 1 Jan tahun ini.

“Di Pulau Pinang, pegawai yang layak adalah daripada Kumpulan Pelaksana yang mana kadar dinaikkan kepada RM350 sebulan. Kenaikan ini juga dapat membantu untuk meringankan sedikit kos sara hidup penjawat awam yang berpendapatan rendah terutamanya bagi negeri maju seperti Pulau Pinang yang kos sara hidupnya kian meningkat dari hari ke hari,” katanya.

— BERNAMA