Home English News Pendakwaan bantah permohonan Najib periksa barangan disita atas faktor keselamatan

Pendakwaan bantah permohonan Najib periksa barangan disita atas faktor keselamatan

937
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya untuk membuat pemeriksaan fizikal terhadap barangan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dibantah oleh pihak pendakwaan atas faktor keselamatan.

Timbalan Pendakwa Raya Fatnin Yusof berkata kesemua barangan yang disita itu ditempatkan di dalam bilik kebal rahsia di Bank Negara Malaysia (BNM) yang hanya boleh diakses oleh pegawai bank tertentu.

Beliau yang merujuk kepada afidavit sokongan oleh pegawai penyiasat Supt Foo Wei Min berkata, bagi memelihara kerahsiaan dan keselamatan bilik kebal pemeriksaan tidak harus dibenarkan di tempat itu.

#TamilSchoolmychoice

“Jika pemeriksaan dibenarkan ia perlu dibuat di lokasi lain dan memandangkan kebanyakan item yang disita bernilai tinggi, pemindahan akan menyebabkan kemerosotan nilai.

Memandangkan banyak item untuk diperiksa akan ramai individu yang mempunyai akses kepada item itu dan bila lebih ramai individu boleh akses lebih mudah item terjejas dengan cara lain.

“Selain itu, tiada spesifik undang-undang tentang perkara ini (permohonan pemeriksaan fizikal) dan oleh kerana kes ini merupakan test case, kami tidak mahu ia menjadi ikutan untuk kes-kes AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001) yang lain,” katanya.

Fatnin berkata sebagai alternatif, pihak pendakwaan bersedia memberi gambar yang lebih jelas dan membuat rakaman video terhadap setiap item untuk diberikan kepada pihak Najib, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa Mohd Najib.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah bahawa adalah kritikal bagi anak guam dan ahkli keluarganya untuk memeriksa barangan yang dirampas oleh SPRM bagi mengenal pasti sama ada mereka menerimanya sebagai hadiah atau diperoleh untuk diri sendiri.

“Keselamatan fizikal adalah perlu kerana polis tidak menyediakan satu senarai cari selepas barangan berharga itu dirampas. Kami mempunyai hak untuk perbicaraan yang adil,” katanya.

Peguam Iskandar Shah Ibrahim yang mewakili Rosmah dan Nooryana Najwa pula berkata pihaknya mengguna pakai hujahan Muhammad Shafee.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan Isnin  (3 Feb) untuk keputusan.

Pada 18 Julai tahun lepas, Najib, 67, memfailkan notis usul  bagi mendapatkan butiran lengkap dan memeriksa barangan yang disita SPRM  pada 17 Mei, 2018, termasuk 315 beg tangan pelbagai jenama dan wang tunai pelbagai mata wang asing kepada Najib serta keluarganya.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.

Rosmah, 69, dan Nooryana Najwa, 32, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta alih yang disita itu.

Menurut kedua-dua notis usul itu, antara barangan yang dirampas ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam dan 27 pasang kasut pelbagai jenama, serta wang tunai pelbagai mata wang asing antaranya membabitkan wang tunai RM537,000, Pound Sterling 2,700, Rupee Sri Lanka 2,870,000, wang lama Ringgit Malaysia RM187,750 dan Pound Sterling 320,500.

— BERNAMA