Home English News Perkembangan politik terkini ubah komposisi kerusi di parlimen

Perkembangan politik terkini ubah komposisi kerusi di parlimen

893
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Perkembangan terkini landskap politik negara dengan beberapa pengumuman mengejutkan hari ini mengubah komposisi kerusi di Dewan Rakyat khususnya membabitkan kedudukan kerusi milik Pakatan Harapan (PH) sebagai kerajaan.

Setakat 5 petang ini, PH kini mempunyai 92 kerusi Parlimen, berikutan tindakan 11 daripada 50 anggota PKR keluar parti dan Bersatu yang mempunyai 26 wakil rakyat mengumumkan keluar daripada gabungan itu.

Ini menjadikan komposisi kerusi milik PH yang kini terdiri daripada DAP ialah 42 kerusi; PKR (39); Amanah (11), berbanding 129 kerusi yang dimilikinya sebelum ini.

#TamilSchoolmychoice

Ahli PKR yang bertindak keluar parti adalah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Ahli Parlimen Gombak), Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Ja’afar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok), Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau), menukar status mereka sebagai wakil rakyat Bebas.

Selain gabungan rakan sekutu PH di Semenanjung, dua parti di Sabah iaitu Warisan yang mempunyai sembilan kerusi dan UPKO satu kerusi merupakan parti mesra PH.

Baki 83 kerusi di Dewan Rakyat adalah milik Barisan Nasional (42) dengan parti komponen UMNO (39), MCA (dua) dan MIC satu kerusi.

PAS memiliki 18 kerusi manakala Gabungan Parti Sarawak mempunyai 18 kerusi — terdiri daripada PBB (13), PRS dan PDP masing-masing dua kerusi, SUPP (1)  dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) (1).

Empat lagi kerusi masing-masing milik PBRS (1), PBS (1), Star (1) di Sabah dan seorang wakil rakyat Bebas.

— BERNAMA