Home English News Laporan: 90 peratus kes dari luar Singapura tidak tunjuk simtom di pusat...

Laporan: 90 peratus kes dari luar Singapura tidak tunjuk simtom di pusat pemeriksaan

503
0
SHARE
Ad

SINGAPURA: Sembilan daripada 10 kes COVID-19 dari luar Singapura dalam tempoh 18 hingga 20 Mac lepas tidak menunjukkan simptom seperti demam semasa mereka melalui pusat pemeriksaan sempadan, menurut laporan The Straits Times.

Oleh sebab itu, semua kes dikesan kemudian, kata laporan media berkenaan yang memetik Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

#TamilSchoolmychoice

Laporan dalam talian itu menyatakan 90 peratus kes dari luar yang dilaporkan di Singapura dalam tiga hari itu berjumpa doktor di hospital atau  klinik swasta selepas pulang ke rumah.

“Mereka tidak menunjukkan simptom semasa di pusat pemeriksaan,” kata MOH.

Sejak minggu lepas, Singapura mengalami peningkatan kes dari luar.

Semalam sahaja, ia melaporkan 48 kes jangkitan COVID-19 dari luar, angka tertinggi setakat ini.

Sebagai langkah terkini untuk mengurangkan risiko jangkitan yang dibawa dari luar, semua pelawat ke Singapura perlu mengemukakan satu deklarasi kesihatan kepada Pihak Berkuasa Imigresen dan  Pusat Pemeriksaan (ICA) sebelum ketibaan mereka Jumaat ini.

Deklarasi kesihatan ini juga terpakai kepada rakyat Singapura, pemastautin tetap, dan pemegang pas jangka panjang termasuk pas pelajar, pas tanggungan, pas kerja dan pemegang pas lawatan jangka panjang.

— BERNAMA