Home English News PRK Chini: SPR tubuh 3 pasukan penguatkuasa pantau aktiviti kempen

PRK Chini: SPR tubuh 3 pasukan penguatkuasa pantau aktiviti kempen

838
0
SHARE
Ad

PEKAN- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan tiga Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) yang akan memantau aktiviti sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, penubuhan pasukan membabitkan wakil parti, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPR itu selaras dengan Seksyen 27B Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta pematuhan terhadap garis panduan pencegahan COVID-19.

Pemantauan dan penguatkuasaan bermula dari sekarang hingga pukul 11.59 malam pada 3 Julai.

#TamilSchoolmychoice

“Ini selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang berkuatkuasa di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya pada sidang media selepas tamat proses penamaan calon PRK DUN Chini di Dewan Utama Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, PP-KPR antara lain memiliki kuasa menurunkan bahan kempen yang berunsur negatif atau melanggar peruntukan undang-undang pilihan raya.

“Pada PRK kali ini, SPR membuat penambahbaikan seperti mengurangkan bilangan pengundi daripada 600 pengundi kepada 400 pengundi sahaja (di setiap saluran) dan memaklumkan kepada pengundi untuk pergi mengundi pada waktu yang digalakkan sepertimana tercatat pada kad pengundi bagi mengelakkan kesesakan.

“Selain itu, kita akan memastikan jarak sosial dapat dilaksanakan di samping garis panduan pencegahan wabak COVID-19 juga dikuatkuasakan di pusat-pusat mengundi dan pusat penjumlahan rasmi undi nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, ujarnya apa jua bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon bertanding.

Dalam pada itu, Azhar berkata secara keseluruhan SPR berpuas hati dengan perjalanan penamaan calon hari ini dan menjangkakan kira-kira 70 peratus pemilih akan mengundi pada hari pengundian 4 Julai nanti.

Mengenai penghantaran Kad Pengundi yang mengandungi maklumat daftar pemilih seperti pusat mengundi, saluran, bilangan dan masa mengundi, Azhar berkata pihaknya telah selesai mengedarkan kepada keseluruhan 20,990 pengundi DUN Chini.

Beliau turut berkata, SPR melantik 32 pemerhati pilihan raya dari 10 organisasi membabitkan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan tiga individu berkelayakan untuk memantau perjalanan pilihan raya kali ini.

Beliau juga mengingatkan calon yang bertanding agar sentiasa mematuhi peraturan dan SOP sepanjang tempoh berkempen, termasuk mendapatkan permit polis bagi setiap ceramah.

— BERNAMA