Home English News Selamat kembali Utusan Malaysia, Kosmo!

Selamat kembali Utusan Malaysia, Kosmo!

1449
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR — Selepas lebih sembilan bulan dihentikan penerbitannya, akhbar tertua negara, Utusan Malaysia dan akhbar kontemporari Kosmo! kembali diterbitkan hari ini .

Dilancarkan secara rasmi Sabtu lalu, kedua-dua akhbar kini di bawah kendalian Media Mulia Sdn Bhd itu sudah berada di pasaran, masing-masing dengan harga RM2.

Kosmo! mengekalkan slogan Suara Kontemporari manakala Utusan Malaysia pula tampil dengan slogan baharu, ‘Pemikiran Baharu’ dan kedua-dua akhbar turut mengekalkan saiz tabloid.

#TamilSchoolmychoice

Mengenai penerbitan semula Utusan Malaysia, Pengarah Urusan merangkap Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar, berkata akhbar itu akan berusaha mengembalikan keyakinan pembaca, menjadi penyebar maklumat yang boleh dipercayai dan mencetus percambahan idea.

“Kebertanggungjawaban menjadi panduan dalam setiap laporan — kredibiliti menjadi tonggak operasi. Masyarakat hari ini mengkehendaki laporan yang objektif, tepat, benar dan adil, sama ada dari aspek politik, sosial dan ekonomi.

“Iltizam kami, untuk bangunkan akhbar nasional yang membawa aspirasi setiap rakyat Malaysia,” katanya menerusi ruangan Minda Pengarang, dalam akhbar itu, hari ini.

Muncul semula ketika industri media dan akhbar negara berada dalam tempoh sukar, Mohamad Azlan menyifatkan kemunculan itu ibarat sinar sebutir bintang di malam yang gelap.

Beliau turut berharap pembaca melihat setiap laporan akhbar itu sebagai hanya pelaporan berita dan bukan diteliti daripada pandangan yang didorong dengan agenda tertentu.

“Menghormati perbezaan pendapat adalah teras kepada demokrasi dinamik dan satu-satu cara membentuk masyarakat Malaysia yang berpengetahuan dengan didedahkan kepada pelbagai perspektif serta bantu membuat rumusan berdasarkan fakta dan bukan emosi,” katanya.

Mengenai Kosmo!, beliau berkata akhbar itu masih mengekalkan ciri-ciri asalnya namun, pada masa sama menggabungkan pelbagai elemen baharu bagi memupuk kecenderungan membaca terutama dalam kalangan golongan muda seperti e-sukan dan permotoran.

Katanya, banyak lagi pembaharuan diperkenalkan dalam edisi Kosmo! setiap hari dan peningkatan berterusan juga dilakukan bagi memastikan akhbar itu kekal relevan kepada pembaca segenap peringkat masyarakat di seluruh negara

“Walaupun dilihat sebagai akhbar kompak, Kosmo! mengekalkan standard kewartawanan tertinggi yang diharapkan bagi semua akhbar di syarikat Media Mulia.

“Integriti, profesionalisme dan kebertanggungjawaban menjadi nilai-nilai dan panduan pemberitaan akhbar Kosmo!, sama seperti akhbar kembarnya Utusan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, semakan Bernama mendapati portal berita kedua-dua akhbar itu dan semua pautan beritanya sudah boleh dilayari.

Penerbitan Utusan Malaysia dan Kosmo termasuk portal beritanya dihentikan pada 9 Okt tahun lepas, selepas bergelut dengan masalah kewangan.

— BERNAMA