Home English News Pendengaran rayuan Shafee gugur Sri Ram ditetapkan 30 Sept

Pendengaran rayuan Shafee gugur Sri Ram ditetapkan 30 Sept

710
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA- Mahkamah Rayuan di sini, menetapkan 30 Sept depan untuk mendengar permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi menggugurkan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram bernilai RM9.5 juta.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee untuk menangguhkan pendengaran rayuan yang dijadualkan hari ini.

Harvinderjit memberitahu mahkamah bahawa beliau memohon pendengaran berkenaan ditangguhkan sementara menunggu keputusan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

#TamilSchoolmychoice

Semakan kehakiman itu, yang difailkan Muhammad Shafee dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, secara berasingan adalah bagi mencabar keputusan Peguam Negara yang melantik Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya, yang akan didengar pada 29 Julai ini.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap penangguhan pendengaran rayuan itu.

Dua lagi anggota panel hakim pada hari ini ialah Datuk Azizah Nawawi dan Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin.

Pada 22 April tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan Muhammad Shafee untuk menggugurkan Sri Ram dan juga untuk mendapatkan surat pelantikan Sri Ram sebagai timbalan pendakwa raya kanan.

Bagaimanapun Muhammad Shafee dan Najib memfailkan semakan kehakiman memohon perintah mahkamah untuk membatalkan pelantikan Sri Ram atau menggugurkan beliau, dengan menyatakan surat pelantikan Sri Ram adalah tidak sah.

Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Sept 2018 atas dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

Najib pula berdepan tuduhan rasuah dan pengubahan haram membabitkan wang RM2.3 bilion dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

— BERNAMA