Home English News “Pembudayaan norma baharu dalam dunia pekerjaan sejakat”

“Pembudayaan norma baharu dalam dunia pekerjaan sejakat”

1500
0
SHARE
Ad

TEKS UCAPAN YB DATUK SERI M. SARAVANAN MENTERI SUMBER MANUSIA SEMPENA HARI PEKERJA TAHUN 2021

“PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU DALAM DUNIA PEKERJAAN SEJAGAT”

Salam Sejahtera.
Saudara-saudari warga pekerja dan rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian,

PENDAHULUAN

#TamilSchoolmychoice

1. Apa khabar semua warga pekerja? Saya berharap saudara-saudari berada dalam keadaan yang sihat dan ceria.

2. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadan dan menjalani ibadah puasa bagi yang beragama Islam.

3. Tahun ini merupakan tahun kedua tiada sambutan Hari Pekerja peringkat Kebangsaan yang mana lazimnya disambut secara besar-besaran dengan kehadiran wakil pekerja, majikan, kesatuan sekerja dan Kerajaan.

4. Lebih setahun kita berdepan dengan penularan wabak COVID-19 yang memberi impak kepada rakyat dan ekonomi negara.

PERSPEKTIF PASARAN BURUH NEGARA

5. COVID-19 yang melanda dunia pada awal tahun 2020 bukan sahaja memberi kesan yang besar terhadap kehidupan sosial dan ekonomi dunia, tetapi impaknya turut dirasai oleh Malaysia terutama sektor pekerjaan negara.

6. Kadar pengangguran negara pada suku ke-empat tahun 2020 telah meningkat kepada 4.8 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku yang sama bagi tahun 2019.

7. Namun demikian, kedudukan pasaran buruh dijangka pulih secara berperingkat dan ekonomi negara pula dilapor menunjukkan trend yang memberangsangkan.

8. Ia dijangka terus berada di landasan pemulihan terutamanya disokong oleh pemulihan permintaan global dan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

9. Ini adalah manifestasi kesungguhan Kerajaan dalam menjamin kesejahteraan dan kemakmuran rakyat Malaysia keseluruhan.

TEMA HARI PEKERJA : PEMBUDAYAAN NORMA BAHARU DALAM DUNIA PEKERJAAN SEJAGAT

Hadirin yang dihormati sekalian,

10. “Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat” telah dipilih sebagai tema sambutan Hari Pekerja pada kali ini dengan mengambil kira senario semasa.

11. Tema ini merupakan representasi kepada objektif sambutan Hari Pekerja yang meletakkan hasrat untuk melihat warga pekerja terus mengamal dan membudayakan norma baharu.

12. Seperti kita sedia maklum, tanggal 1 Mei merupakan hari yang cukup signifikan kepada warga pekerja di Malaysia.

13. Sesungguhnya, Kerajaan mengiktiraf warga pekerja yang turut bersama-sama membantu memulihkan semula ekonomi negara.

14. Atas dasar ini, maka warga pekerja perlu membudayakan norma baharu pekerjaan dan bertindak dengan bijak bagi menghadapi persekitaran pekerjaan yang dinamik.

Warga Pekerja yang dihormati sekalian,

INISIATIF KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA

15. Bertepatan dengan konteks tema Hari Pekerja tahun ini, beberapa inisiatif telah dipasakkan sebagai matlamat utama Kementerian Sumber Manusia.

16. Inisiatif pertama adalah Pematuhan Perundangan Perburuhan.

17. Menerusi inisiatif ini, pindaan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan 2020) atau Akta 446 yang berkuatkuasa pada 1 Jun 2020 telah diperluaskan kepada semua sektor pekerjaan bagi majikan yang menyediakan kemudahan perumahan dan penginapan para pekerja.

18. Manakala, menerusi Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 telah dikuatkuasakan pada 26 Februari 2021 memperlihatkan penambahbaikan dari segi pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan COVID-19.
19. Selain itu, pindaan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) yang berkuatkuasa pada 1 Januari 2021 pula adalah bagi memastikan hak pekerja setara dengan piawaian antarabangsa dan mematuhi konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

20. Pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang telah selesai bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 4 November 2020 akan memperlihatkan penguatkuasaan perundangan yang lebih holistik dilaksanakan.

21. Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) kini di peringkat akhir membangunkan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara 2021 – 2025 (OSHMP 2025), dengan visi memperkasa amalan kerja selamat dan sihat demi kemakmuran negara.

22. Pelaksanaan pelan induk ini bakal memperkukuh hubungan strategik pemegang taruh dalam membudayakan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

23. KSM akan terus membuat semakan semula ke atas aspek perundangan perburuhan negara sedia ada agar ianya bersesuaian dan bertepatan dengan keperluan masa kini.

24. Pendekatan ini akan memastikan undang-undang perburuhan negara relevan dengan senario semasa dalam memberi jaminan hak kebajikan, keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa dilindungi.

Warga Pekerja yang dihormati sekalian,

25. Saya sedar ada dalam kalangan saudara dan saudari turut terkesan dari segi pendapatan dan ada juga yang kehilangan pekerjaan.

26. Susulan itu, KSM melalui jabatan dan agensi komited dalam membantu golongan pekerja mendepani cabaran melalui beberapa inisiatif.

27. Menerusi inisiatif pertama, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melalui Sistem Insurans Pekerjaan di bawah Akta 800 telah memproses lebih 100 ribu orang yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020, dan berjaya menempatkan semula 136,396 pekerja yang kehilangan pekerjaan.

28. Ini diikuti oleh Program Subsidi Upah (PSU) yang dilaksanakan dalam tiga (3) fasa.

29. Di bawah PSU1.0, sebanyak 12.58 bilion Ringgit telah dibayar kepada 331,569 majikan yang menggaji lebih 2.7 juta orang pekerja sehingga 30 September 2020.

30. Menerusi PSU2.0 pula, sebanyak 442.53 juta Ringgit telah dibayar kepada 96,566 majikan yang mewakili 975,413 orang pekerja sehingga 31 Disember 2020.

31. Kerajaan juga telah melanjutkan fasa ke-tiga program ini dengan mensasarkan sektor yang masih terkesan iaitu pelancongan dan peruncitan.

32. Sehingga 9 April 2021, 312.77 juta Ringgit dibayar kepada 83,511 majikan, melibatkan 932,109 pekerja.

33. Selain itu, SPS Lindung iaitu bantuan berbentuk caruman penuh Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri antara inisiatif lain yang diperkenalkan.

34. SPS Lindung adalah bertujuan untuk memberi perlindungan keselamatan sosial dan kebajikan kepada Orang Bekerja Sendiri.

35. Sehingga 9 April 2021, sebanyak 59,751 individu telah mencarum dengan kutipan berjumlah 13.9 juta Ringgit.

Warga Pekerja yang dikasihi sekalian,

Penempatan Pekerjaan dan Peningkatan Kemahiran

36. Bagi menghadapi tempoh pasca COVID-19, KSM melalui Jabatan dan Agensi di bawahnya telah merangka strategi yang melibatkan kerjasama dan libat urus semua pihak yang berkepentingan.

37. Dalam hal ini, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) akan menggalas tanggungjawab dalam memastikan dana-dana latihan yang digunakan akan menjurus kepada jaminan pekerjaan.

38. Dalam usaha menerapkan budaya pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia, HRD Corp telah memperkenalkan hab pembelajaran e-LATiH.

39. Portal e-LATiH mengandungi lebih 200 kursus latihan dalam talian berpandukan kepada keperluan industri semasa yang ditawarkan secara percuma.

40. Sehingga 9 April 2021, seramai 61,319 pengguna telah mendaftar dan sebanyak 74,304 kursus telah diikuti melalui Portal e-LATiH.

41. Selain itu, Kerajaan juga telah membentuk Majlis Pekerjaan Negara pada November 2020 bagi merealisasikan strategi menjana dan mengekalkan pekerjaan, dengan mensasarkan pewujudan 500,000 pekerjaan baharu sehingga penghujung tahun 2021.

42. Melalui penubuhan majlis ini, hasrat Kerajaan untuk memulih dan merangsang sektor ekonomi dapat dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh, berpandukan data serta sepadan dengan permintaan industri semasa dan pasaran global.

43. Kerajaan melalui HRD Corp juga telah melancarkan HRD Corp Placement Centre (HPC) sebagai inisiatif kepada majikan dan pencari pekerja untuk mendapatkan padanan pekerjaan yang sesuai dengan latar belakang yang diperlukan.

44. Platform HPC mensasarkan sebanyak 50,000 penempatan pada tahun 2021.

45. Tidak hanya itu, Kerajaan menerusi KSM dan agensinya seperti PERKESO dan HRD Corp turut menganjurkan Karnival Pekerjaan bersasar.

46. Antaranya termasuklah Program Kerjaya khusus untuk golongan di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR), Orang Kurang Upaya (OKU) dan juga golongan wanita.

47. KSM juga akan mempergiatkan lagi penganjuran program Karnival Pekerjaan.

48. Saya menyeru kepada warga pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk bangkit seterusnya mencari peluang pekerjaan baharu dengan mendaftarkan diri di Portal MyFutureJobs.
PENUTUP

Warga Pekerja yang saya kasihi,

49. Saya yakin dan percaya dengan komitmen serta iltizam yang tinggi, kita akan berjaya merealisasikan pembudayaan norma baharu dalam dunia pekerjaan.

50. Akhir kata, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga pekerja Malaysia di atas pengorbanan, komitmen serta sumbangan yang dicurahkan selama ini dalam membantu Kerajaan menjayakan pelbagai dasar dan program pembangunan demi masa depan Malaysia yang tercinta.

51. Selamat Hari Pekerja 2021 kepada seluruh warga pekerja Malaysia – “Pembudayaan Norma Baharu dalam Dunia Pekerjaan Sejagat”!

Sekian, terima kasih. Tema Hari Pekerja 2021:

Pembudayaan Norma Baharu Dalam Dunia Pekerjaan Sejagat