Home English News Pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) Berhubung Penghantaran Pekerja Mahir Malaysia Ke Jepun

Pemeteraian Memorandum Kerjasama (MoC) Berhubung Penghantaran Pekerja Mahir Malaysia Ke Jepun

517
0
SHARE
Ad

KENYATAAN MEDIA YB DATUK M.SARAVANAN, MENTERI SUMBER MANUSIA 

PEMETERAIAN MEMORANDUM KERJASAMA (MoC) BERHUBUNG PENGHANTARAN PEKERJA MAHIR MALAYSIA KE JEPUN

1. Saya telah memuktamadkan Memorandum Kerjasama (MoC) dengan TYT Menteri Kehakiman Jepun, Yoshihisa Furukawa pada 26 Mei 2022 bagi penghantaran pekerja mahir Malaysia untuk bekerja di Jepun. Susulan daripada itu, pertukaran dokumen MoC ini telah disaksikan oleh YAB Perdana Menteri Dato Sri’ Ismail Sabri bin Yaakob dan TYT Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida pada 27 Mei 2022.

#TamilSchoolmychoice

2. Satu Jawatankuasa Bersama (Joint Committee) akan ditubuhkan dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan MoC ini kelak. Kementerian Sumber Manusia akan menerajui Jawatankuasa Bersama ini bagi pihak Malaysia.

3. MoC ini akan bertindak sebagai satu platform terbaik bagi pekerja mahir Malaysia yang berkelayakan untuk bekerja dalam ekosistem pekerjaan berteraskan teknologi maju di Jepun. Melalui pendedahan dan pengalaman yang diperoleh, pekerja Malaysia berpeluang meneroka pelbagai cabang teknologi yang menjadi nadi utama kemajuan sektor industri di Jepun dan seterusnya berupaya membawa pulang kemahiran yang dipelajari serta budaya kerja masyarakat Jepun ke Malaysia selepas tamat tempoh pekerjaan mereka di sana.

4. Selain itu, Jepun dikenal pasti sebagai sebuah negara yang menawarkan kadar upah tinggi kepada pekerja berkemahiran. Oleh itu, pekerja mahir Malaysia yang menyertai program ini berupaya menjana pendapatan yang lebih tinggi

sekaligus meningkatkan tahap sosio ekonomi mereka. Malah, pengalaman kerja di Jepun juga mampu meningkatkan kebolehpasaran guna tenaga Malaysia.

5. Pemeteraian MoC ini juga akan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara sumber bagi membekalkan pekerja-pekerja berkemahiran ke negara-negara maju. Walau bagaimanapun, pekerja-pekerja berkemahiran tempatan hanya akan bekerja di Jepun untuk tempoh masa tertentu sebelum mereka kembali ke Malaysia dengan kemahiran serta pengalaman yang diperolehi untuk menyumbang kepada pembangunan negara kelak.

DATUK SERI M. SARAVANAN
MENTERI SUMBER MANUSIA
28 MEI 2022