KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy berkata Pesta Ponggal merupakan antara platform terbaik untuk usaha memperkukuh perpaduan di negara ini.
Beliau berkata setiap rakyat di negara ini perlu mengamalkan semangat perpaduan menerusi sambutan pelbagai budaya.
“Perpaduan yang kita nikmati sejak lebih 60 tahun mesti terus diperkukuh menerusi pertukaran budaya dan Ponggal merupakan saluran yang baik untuk usaha ini,” katanya semasa merasmikan ‘1 World Ponggal Festival 2019’ di Asia Pacific University (APU) di sini hari ini.
Waytha Moorthy yang memegang portfolio perpaduan negara dan kesejahteraan sosial turut memuji usaha APU yang yang meraikan Ponggal dengan cara tersendiri bersama-sama pelajar dari 70 negara.
“Mereka membolehkan pelajar dari pelbagai tempat di seluruh dunia bersama-sama pelajar Malaysia meraikan Pesta Ponggal dan saya rasa ini satu usaha yang hebat,” katanya.
Kira-kira 80 periuk disediakan di hadapan kampus universiti itu bagi acara memasak beramai-ramai dan pelajar berpeluang memasak ponggal iaitu nasi manis menerusi bimbingan pelajar India.
Ponggal merupakan perayaan selama empat hari yang disambut pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil bersempena bulan menuai di India.
Sambutan itu merupakan perayaan kedua terbesar dirai oleh komuniti India di seluruh dunia selepas Deepavali.
— BERNAMA