PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu berbincang dan mendapatkan kata sepakat dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) sebelum membuat keputusan untuk melebarkan pengaruh mereka ke Sabah, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata Bersatu sebelum ini telah pun membuat perjanjian dengan Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bahawa Bersatu tidak akan ke Sabah kerana mahu Warisan berkembang di sana.
“ Strategi kita betul. Tanpa kita pun mereka menang (dalam Pilihan Raya Umum ke-14) , kerana tidak bertembung dan kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan) sudah berjaya. Tapi (ada) orang Sabah sudah tidak tahan-tahan lagi dan ingin cepat (Bersatu di Sabah).
“Jadi sekarang kalau ada tuntutan baru, dan orang nak suruh tubuh Bersatu di sana, kita kena berhati-hati. Ada perkara perlu diselesaikan,” katanya dalam temu bual dengan beberapa organisasi media di ibu pejabat Bersatu di sini hari ini.
Temu bual itu diadakan bersempena perhimpunan agung kali kedua parti itu yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bermula Jumaat hingga Ahad ini.
Dilaporkan, kira-kira 3,000 perwakilan daripada semua peringkat dijangka menghadiri perhimpunan agung tiga hari itu melibatkan 135 bahagian di seluruh negara dengan 98 sayap Srikandi dan 115 sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Pada 12 Dis lepas, hampir keseluruhan barisan kepimpinan UMNO Sabah termasuk lima anggota Parlimen, sembilan Anggota Dewan Undangan Negeri dan dua Senator mengumumkan keluar parti dengan alasan parti itu tidak mempunyai hala tuju yang jelas dan untuk kepentingan rakyat yang diwakili.
Jelas Muhyiddin, Warisan perlu menyelesaikan dahulu rundingan dengan bekas pemimpin dan anggota UMNO di Sabah sebelum kepimpinan Bersatu boleh membuat sebarang keputusan.
“Saya beritahu Shafie, awak rundingkanlah dahulu, biar semua masuk Warisan, selesai. Itu saya sebutkan, supaya tidak ada pertembungan dari segi kepentingan parti… parti kita dan lain-lain parti,” katanya.
Katanya, tiada tempoh waktu rundingan ditetapkan namun isu berkaitan strategi keahlian ini perlu diselesaikan cara baik dengan mewujudkan persefahaman antara satu sama lain.
“Jika itu selesai, kata lah sebahagian besar ahli UMNO tidak mahu sertai Warisan, dan mahu sertai kita (Bersatu), jadi kita tidak boleh elak dan kena tubuh bahagian, cawangan. Namun perlu ada persefahaman agar tidak bertembung dalam pilihan raya umum hingga memecahkan undi.
“Ini isu-isu strategi yang perlu diselesaikan. Kita tidak boleh masuk (Sabah), rempuh sebegitu sahaja, kena hati-hati,” katanya.
Mengenai kehadiran Bersatu di Sarawak pula, Muhyiddin berkata ia juga memerlukan pendekatan berhati-hati supaya kehadiran mereka tidak akan menimbulkan masalah dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), terutama selepas mereka mengumumkan sebagai pro-PH sebelum ini.
“Kita sudah lancarkan Bersatu di Sarawak. Tapi kita kena hati-hati kerana situasi di Sarawak berbeza dengan Sabah dan Semenanjung Malaysia. Kita kena pastikan kemasukan (ahli) tidak menjadi masalah.
“Gabungan Parti Sarawak kata mereka pro-Pakatan Harapan… apa makna itu? Mereka telah buat keputusan berkaitan mengenai Petronas yang kita lihat kalau tidak hadapi dengan hati-hati, ia akan membawa kesan besar kepada operasi Petronas. Jadi itu yang kena runding,” katanya.
Selepas kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu, ia dibubarkan di Sarawak dan digantikan dengan GPS.
— BERNAMA