TANJUNG KARANG — Ponggal, perayaan untuk melahirkan kesyukuran atas hasil tuaian padi yang melimpah ruah yang dinikmati oleh pesawah adalah antara perayaan penting masyarakat Tamil di seluruh dunia.
Justeru, golongan pesawah Hindu di Malaysia turut menanti dan teruja untuk menyambut perayaan itu yang akan disambut pada Selasa ini, berikutan selesainya proses menuai padi.
VR. Arumugam, 68, yang memiliki sawah padi di Parit Empat, Sekinchan dekat sini berkata perayaan Ponggal merupakan sambutan yang dinanti-nantikan oleh pesawah beragama Hindu kerana perayaan itu khas untuk golongan mereka.
“Kita sambut Ponggal sempena berakhirnya musim menuai, yang hasil tuaian didedikasikan buat Suriya Bhagawan (Dewa Matahari). Perayaan ini juga bagi menandakan kesyukuran terhadap hasil tuaian yang diterima,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sambutan Ponggal akan lebih meriah dengan masakan nasi Ponggal, iaitu nasi manis yang ditanak dengan menggunakan beras hasil tuaian pertama.
Sempena perayaan itu, setiap keluarga akan berkumpul di sekeliling belanga tanah untuk melihat susu lembu yang dimasak melimpah, dan percaya limpahan susu itu menandakan kebaikan, kebahagiaan dan kekayaan bagi seluruh keluarga.
“Beras hasil tuaian pertama itu akan dimasak bersama susu tersebut berserta gula merah dan sebahagian daripada nasi manis itu akan dipersembahkan kepada Suriya Bhagawan (Dewa Matahari),” kata Arumugam, yang telah mengerjakan sawah padi sejak 45 tahun, atas tanah sawah yang diwarisinya.
Ponggal diraikan pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil yang dikenali sebagai Thai Matham bersempena bulan menuai hasil tanaman di India.
Ponggal yang merupakan perayaan kedua yang diraikan dengan penuh kemeriahan oleh masyarakat Tamil di seluruh dunia selepas Deepavali, turut disambut bagi menzahirkan kesyukuran kepada Tuhan, matahari, bumi dan lembu yang mengeluarkan hasil susu.
Bagi, P. Ravichandran, 52, yang juga seorang pesawah di Sekinchan berkata Ponggal merupakan hari bagi seluruh masyarakat Hindu untuk memperingati petani atau pesawah yang membanting tulang mengeluarkan hasil beras yang terbaik, sumber utama makanan kepada manusia.
“Kami sebagai pesawah memang menyambut Ponggal dengan penuh meriah dengan menghias rumah. Kami turut mengikat batang tebu di depan pintu supaya kemanisan tebu itu membawa rahmat kepada keluarga kami. Sementara daun mangga pula digantung di atas pintu untuk kebaikan keluarga, dan periuk tanah liat yang berwarna-warni akan dibeli untuk memasak nasi ponggal,” katanya.
Ravichandran yang telah mengerjakan sawah padi sejak 30 tahun berkata hasil pendapatannya kini amat menggalakkan berikutan pengunaan jentera dalam penuaian dan penanaman padi.
Perayaan Ponggal bermula dengan sambutan Bhogi, sehari sebelum sambutan Ponggal iaitu Isnin ini dengan upacara membakar segala benda lama yang melambangkan pembuangan pemikiran yang tidak baik.
Sambutan Ponggal yang diraikan tiga hari berturut-turut juga dikenali sebagai Mattu Ponggal yang diraikan khas untuk lembu, yang diadakan pada hari kedua.
Pada hari ketiga ia dikenali sebagai Kanni Ponggal yang diadakan khusus untuk anak dara, bagi mendoakan mereka dipertemukan jodoh yang baik.
— BERNAMA