SHAH ALAM: Seorang saksi awam memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa beliau melihat antara lima hingga enam orang seolah-olah sedang memukul seseorang pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, 27 Nov lepas.
Nasaruddin Abdullah, 22, berkata, mereka itu adalah antara 30 orang yang sedang berdiri dalam formasi bulatan mengelilingi seseorang selepas jentera Fire Rescue Team (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) meninggalkan lokasi rusuhan.
“Saya nampak gerak laku mereka seolah-olah pukul seseorang. Lepas itu saya dengar orang jerit ‘polis’ dan 30 orang itu lari dari kawasan tersebut ,” katanya ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Hamdan Hamzah pada prosiding inkues bagi menyiasat kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Beliau berkata demikian dalam bahasa Tamil yang kemudian diterjemahkan dalam bahasa Malaysia oleh jurubahasa mahkamah.
Menjawab pertanyaan Hamdan, berapa orang yang betul-betul memukul seseorang itu, beliau berkata atara lima hingga enam orang dilihat memukul dan memijak seseorang yang ketika itu berada dalam formasi bulatan.
“Hanya lima hingga enam orang buat demikian (memukul) yang lain hanya jerit kelilingi dalam formasi tersebut,” katanya yang menambah insiden itu berlaku selama seminit.
Beliau juga berkata terdengar jeritan ”berani korang masuk dalam kuil India’ ketika insiden itu.
Katanya kata-kata itu difahamkan dirujuk kepada seorang Melayu sebab setahunya yang memasuki kuil itu adalah orang Melayu.
Nasaruddin berkata selepas insiden itu, beliau melihat sekumpulan lapan hingga 10 orang mengusung seorang anggota bomba yang memakai seluar (celoreng) bomba sambil ada yang merakam insiden kejadian itu.
Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Terdahulu, Nasaruddin berkata, dia pergi ke kuil berkenaan bersama kawannya Karthik untuk mengetahui insiden yang berlaku di kuil berkenaan.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov tahun lalu.
Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di IJN.
– BERNAMA