Home English News Agensi kerajaan perlu selesai aduan rakyat lebih berkesan- MELCAT

Agensi kerajaan perlu selesai aduan rakyat lebih berkesan- MELCAT

1110
0
SHARE
Ad

MELAKA: Setiap jabatan, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri ini perlu memastikan semua aduan yang diterima daripada rakyat diselesaikan dengan cara lebih berkesan bagi memastikan masalah yang diadukan itu tidak berulang pada masa depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Kecekapan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Negeri Melaka (Melcat)  Damian Yeo Shen Li berkata jawatankuasa itu menerima kira-kira 600 aduan setiap bulan dan siasatan mendapati terdapat aduan yang tidak diselesaikan pihak berkaitan dengan berkesan sebelum ini sehingga menyebabkan masalah berpanjangan.

Beliau berkata terdapat juga aduan yang statusnya diklasifikasikan sebagai ‘selesai’ oleh pihak yang terlibat, namun siasatan lanjut Melcat mendapati masalah itu tidak diselesaikan secara sepenuhnya oleh pihak tersebut.

#TamilSchoolmychoice

“Bila status ‘selesai’ sepatutnya masalah diadukan rakyat itu diselesaikan habis dan tidak berpanjangan, tetapi apa yang terjadi tugas agensi itu tidak selesai dan aduan itu diserah kepada pihak lain untuk diselesaikan mengikut bidang kuasa masing-masing.

“Cara ini tidak sepatutnya dibuat, apabila status aduan itu ‘selesai’ bermakna masalah rakyat itu selesai. Ini yang kita di Melcat lihat dengan teliti dan akan tambah baik untuk rakyat,” katanya pada sidang media sempena Sesi Prapendengaran Melcat di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yeo berkata majoriti aduan yang diterima oleh Melcat setakat ini melibatkan masalah yang dihadapi oleh rakyat yang 80 peratus daripada kira-kira 600 aduan yang diterima setiap bulan melibatkan tindakan penyelesaian yang perlu dilaksanakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Beliau berkata aduan yang paling lazim diterima Melcat adalah melibatkan masalah sampah serta penyelenggaraan pokok dan jawatankuasa itu juga akan turut memantau perkembangan penyelesaian setiap masalah diadukan mengikut tempoh waktu ditetapkan.

“Dalam prosedur PBT contohnya terdapat tempoh waktu penyelesaian iaitu lima hari untuk masalah penyelesaian mudah, 15 hari sederhana dan 365 hari libat penyelesaian kompleks terutama libat kewangan, jadi tempoh waktu ini kita juga pantau.

“Namun, saya mahu menegaskan di sini, Melcat bukan bertujuan untuk mencari kesalahan tetapi untuk menambah baik pentadbiran kita yang seterusnya membantu rakyat itu secara keseluruhannya,” katanya.

— BERNAMA