Home English News SPM 2018 catat indeks GPN lebih baik

SPM 2018 catat indeks GPN lebih baik

1536
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 adalah lebih baik daripada tahun 2017 dengan indeks pencapaian Gred Purata Nasional (GPN)  yang direkodkan adalah 4.89, berbanding 4.90 pada 2017.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dalam sidang akhbar pengumuman analisis SPM 2018 di sini hari ini berkata walaupun ‘kecil’ namun trend yang ditunjukkan sejak 2015 adalah sesuatu yang positif.

Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian lebih baik.

#TamilSchoolmychoice

Amin berkata sebanyak 58.9 peratus atau 230,465 calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran yang diduduki pada tahun 2018, dengan 8,436 calon mendapat gred A+, A dan A- bagi semua mata pelajaran.

“Peratusan calon yang layak dianugerahkan Sijil Pelajaran Malaysia juga meningkat sebanyak 1.2 peratus iaitu 86.4 peratus daripada 391,641 calon yang menduduki peperiksaan SPM berbanding 85.2 peratus pada 2017,” katanya.

Amin berkata secara keseluruhan pencapaian calon pada 2018 adalah lebih baik daripada 2017 dengan jurang pencapaian antara calon di bandar dan di luar bandar juga mengecil sebanyak 0.04.

Amin berkata seramai 296,673 calon atau 75.8 peratus menguasai dua bahasa iaitu sekurang-kurangnya lulus bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris.

Ditanya mengenai calon yang gagal dalam semua mata pelajaran, beliau berkata  hanya 1.12 peratus calon gagal dalam semua mata pelajaran.

Amin berkata secara keseluruhan 61.1 peratus calon SPM 2018 menguasai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dengan baik.

Dalam analisis itu didapati sebanyak 70.1 peratus calon menguasai kemahiran menilai, 63.2 peratus menguasai kemahiran mencipta, 56.9 peratus calon menguasai kemahiran menganalisis manakala 54.3 peratus calon menguasai kemahiran mengaplikasi, katanya.

“Kemahiran berfikir haruslah sentiasa dipupuk dalam diri calon sepanjang waktu persekolahan dan di rumah.

“Penguasaan KBAT adalah penting kepada calon bagi memastikan mereka mampu untuk menghadapi cabaran dan bersaing di peringkat global,” katanya.

KBAT diperkenalkan dalam kertas peperiksaan SPM mulai 2014 merupakan soalan yang menguji keupayaan calon mengaplikasi pengetahuan dalam situasi baharu, menganalisis, menilai dan mencipta untuk memberi jawapan.

Amin berkata seramai 1,194 calon berkeperluan khas menduduki SPM pada 2018 dan daripada jumlah itu,  61.2 peratus layak dianugerahkan SPM.

— BERNAMA