Home English News Tengku Maimun angkat sumpah Ketua Hakim Negara di hadapan Agong

Tengku Maimun angkat sumpah Ketua Hakim Negara di hadapan Agong

673
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Ketua Hakim Negara Datuk Tengku Maimun Tuan Mat di Istana Negara, hari ini.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu kemudiannya mengangkat dan melafazkan sumpah sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pelantikan Tengku Maimun yang berkuat kuasa 2 Mei lepas dibuat selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan bagi menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara pada 12 April.

#TamilSchoolmychoice

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Hakim Negara yang berlangsung di Singgahsana Kecil istana tersebut turut dihadiri Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, Hakim Besar Malaya Tan Sri Zaharah Ibrahim dan Peguam Negara Tommy Thomas.

Pelantikan Tengku Maimun itu sekali gus mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama memegang jawatan tertinggi badan kehakiman negara.

Berkelulusan dari Universiti Malaya, Tengku Maimun, yang akan berumur 60 tahun pada Julai ini, memulakan kariernya sebagai pegawai undang-undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (Kesedar) pada tahun 1982.

Pada 1984, beliau menjadi pegawai undang-undang di Majlis Perbandaran Seremban selama dua tahun sebelum menyertai Jabatan Peguam Negara di Bahagian Gubalan.

Dilahirkan di Kota Bahru, Kelantan, Tengku Maimun turut memegang beberapa jawatan termasuk  majistret, hakim Mahkamah Sesyen, peguam persekutuan dan penolong kanan pendaftar serta pegawai khas kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.

Beliau dilantik sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada 2005 sebelum dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman pada 2006 dan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun berikutnya.

Beliau kemudian dinaikkan pangkat menjadi Hakim Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan pada November tahun lepas.

— BERNAMA