Home English News Kes rasuah Ahmad: Pendakwaan mohon pindah kes ke KL

Kes rasuah Ahmad: Pendakwaan mohon pindah kes ke KL

825
0
SHARE
Ad

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 14 Ogos ini untuk mendengar notis usul difailkan pihak pendakwaan dalam kes rasuah Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi memindahkan 33 pertuduhan yang dihadapi bekas Timbalan Perdana Menteri itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan tarikh itu ketika kes berkenaan disebut di hadapannya hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng Kun memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah memfailkan notis usul pada 24 Julai lepas untuk memindahkan kes dari Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama tujuh lagi pertuduhan rasuah yang dihadapi Ahmad Zahid.

#TamilSchoolmychoice

Gan berkata, salinan notis usul yang dimeterai telah disampaikan kepada pihak pembelaan melalui emel pada 26 Julai lepas.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, yang mewakili Ahmad Zahid, bagaimanapun membantah notis usul itu memandangkan pihaknya terlebih dahulu memfailkan notis usul untuk memindahkan kes di Kuala Lumpur ke Shah Alam pada 15 Julai.

“Notis usul yang difailkan oleh pihak kami akan didengar di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu ini, justeru kami memohon satu tarikh lain sementara menunggu pendengaran notis usul kami di sana, selain untuk memberi kami masa bagi memfailkan afidavit jawapan terhadap notis usul yang difailkan oleh pihak pendakwaan,” katanya.

Rozilah menetapkan 14 Ogos untuk mendengar notis usul yang difailkan pihak pendakwaan selain mengetahui perkembangan notis usul yang difailkan pihak pembelaan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Pada 27 Jun lepas, Ahmad Zahid, 66, mengaku tidak bersalah atas 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bagi 26 pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), presiden UMNO itu didakwa menerima suapan daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd berjumlah SGD9,320,000 (anggaran RM1=SGD3.06) sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), telah melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Beliau dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Country Heights, Kajang antara Oktober 2014 dan Julai 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi tujuh pertuduhan lagi, Ahmad Zahid didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN telah mendapat untuk dirinya suatu benda berharga iaitu wang tunai SGD1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Ahmad Zahid didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama antara Jun 2015 dan Oktober 2017, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap tujuh pertuduhan menerima suapan dari Syarikat Ultra Kirana berjumlah SGD4.24 juta, sebagai dorongan untuk dirinya sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri di KDN, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di Negara China dan Sistem VLN pada 2017.

Pada 19 Okt dan 14 Dis 2018 serta 20 Feb lepas, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap 47 pertuduhan dengan 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Kesnya kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan mahkamah itu menetapkan 18 Nov hingga 22 Nov, 2 Dis hingga 6 Dis dan 9 Dis hingga 13 Dis untuk perbicaraan.

— BERNAMA