Home English News Ahmad Zahid bayangkan UMNO bertanding di PRK Tanjung Piai

Ahmad Zahid bayangkan UMNO bertanding di PRK Tanjung Piai

1033
0
SHARE
Ad

JOHOR BAHRU: Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi bayangan parti itu bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, 16 Nov depan.

Berucap merasmikan Konvensyen UMNO Johor, di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata pengundi Melayu di kawasan berkenaan mahukan perubahan di kawasan tersebut.

#TamilSchoolmychoice

“Ya, kerusi tradisi adalah kerusi MCA. Kita tahu bahawa 56.9 peratus atau hampir 57 peratus daripada pengundi Tanjung Piai adalah orang Melayu.

“UMNO dan orang Melayu di Tanjung Piai mahukan perubahan. Namun, MCA juga mahu mengekalkan tradisinya. Tidak ada sesuatu yang mustahil, jika MCA dapat berbesar hati, MCA dapat berlapang dada kan,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Ir Hasni Mohamad dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Ditanya pemberita maksud di sebalik MCA perlu berlapang dada itu selepas majlis perasmian berkenaan, Ahmad Zahid berkata: “MCA sentiasa berlapang dada sama seperti MIC di PRK Cameron Highlands,”

Ahmad Zahid dalam ucapannya, turut mengumumkan Hasni sebagai Pengarah Pilihan Raya PRK Tanjung Piai manakala Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai Datuk Jefridin Atan sebagai Pengarah Operasi.

PRK Parlimen Tanjung Piai yang merupakan PRK kesembilan selepas PRU14 diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 21 Sept lepas, berikutan komplikasi jantung.

Pada PRU14, Dr Md Farid yang merupakan seorang pakar bius dan Timbalan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian Tanjung Piai memenangi kerusi Parlimen itu dengan majoriti 524 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS).

— BERNAMA