Home English News Musuh ketat politik Jokowi, Prabowo jadi menteri kabinet

Musuh ketat politik Jokowi, Prabowo jadi menteri kabinet

798
0
SHARE
Ad

JAKARTA: Musuh ketat politik Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi), Prabowo Subianto hari ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Pertahanan, dalam kabinet Presiden Jokowi 2019-2024.

Prabowo, 68, Ketua Umum Parti Gerindra dan bekas ketua tentera Indonesia itu, dua kali tewas kepada Jokowi dalam Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) iaitu pada 2019 dan 2014.

Pelantikan menteri kabinet adalah hak prerogatif Presiden Indonesia.

#TamilSchoolmychoice

Menurut penganalisis politik, perseteruan politik mereka bukan kepalang, namun kedua-dua tokoh itu meletak kepentingan negara, melebihi kepentingan peribadi.

“Analogi politik Indonesia ini seperti bola sepak, mereka berlawan bermatian-matian dalam liga tempatan (pilihan raya), apabila telah selesai, mereka kembali bersatu untuk membentuk pasukan kebangsaan, demi negara,” kata penganalisis itu.

Pada Pilpres yang berlangsung pada 17 April 2019, Jokowi, 58, bersama pasangannya untuk jawatan naib presiden, Ma’ruf Amin, 76, memperolehi 85,607,362 undi, manakala Prabowo dan pasangannya untuk jawatan naib presiden, Sandiaga Uno, 49, memperolehi 68,650,239 undi.

Keputusan Pilpres 2019 yang diumumkan Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada 21 Mei lepas, mencetuskan beberapa siri demonstrasi dan rusuhan, dengan sembilan orang dilaporkan terbunuh dan beratus lagi cedera.

Prabowo memfailkan petisyen membantah keputusan pilihan raya itu ke Mahkamah Konstitusi Indonesia, yang kemudiannya bersidang hampir sebulan, dan memutuskan menolak permohonan itu pada 27 Jun lepas.

Sebanyak 34 menteri mengangkat sumpah pada majlis pelantikan di hadapan Jokowi di Istana Merdeka, serta empat lagi jawatan penting iaitu Ketua Staf Kepresidenan, Moeldoko; Sekretaris Kabinet (Ketua Setiausaha Negara) Pramono Anung;

Ketua Badan Koordinasi dan Penanaman Modal (BKPM) Bahlil Lahadalia dan Jaksa Agung (Peguam Negara) Burhanudin.

Senarai kabinet Jokowi itu menampilkan 17 muka lama dan 21 muka baharu.

Antara menteri yang kekal adalah Menteri Luar Negeri, Retno Marsudi; Menteri Kewangan, Sri Mulyani; Menteri Koordinator Bidang Kemaritiman dan Investasi: Luhut B Pandjaitan;

Menteri Hukum dan Hak Asasi Manusia, Yasonna Laoly dan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan, Siti Nurbaya.

Jokowi turut melantik Ketua Polis Indonesia, Tito Karnavian sebagai Menteri Dalam Negeri; Pengasas syarikat rangkaian pengangkutan dan start up Gojek, Nadiem Makarim sebagai Menteri Pendidikan dan Kebudayaan, serta bekas Ketua Mahkamah Konstitusi, Mahfud MD sebagai Menteri Koordinator Bidang Politik Hukum dan Keamanan.

Jokowi mengangkat sumpah bagi penggal keduanya pada Ahad, bagi memimpin negara ketiga demokrasi terbesar di dunia itu, dengan visi menjadikan Indonesia negara maju tahun 2045.

Dalam pidato pertamanya selepas pelantikan itu, visinya adalah pendapatan perkapita rakyat Indonesia ialah sebanyak Rp27 juta perbulan (Kira-kira RM8,100).

Visi Indonesia pada tahun 2045 adalah Produk Domestik Bruto Indonesia atau Keluaran Dalam Negara Kasar mencapai USD 7 triliun.

Mengikut perbandingan, pada 2018, GDP Indonesia melebihi USD1 trillion, manakala Malaysia sekitar USD350 billion manakala gaji minimum di Jakarta sejak 2018 adalah Rp3.5 juta (RM1,050).

— BERNAMA