Home English News Lebih 43,000 operasi dijalankan banteras warga asing berniaga secara haram

Lebih 43,000 operasi dijalankan banteras warga asing berniaga secara haram

1248
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Sejumlah 132,654 pendatang tanpa izin ditahan  melalui 43,612 operasi penguatkuasaan terhadap rakyat asing yang berniaga tanpa kebenaran di negara ini dalam tempoh Januari 2017 hingga 31 Ogos tahun ini.

Seramai 3,666 majikan turut ditahan dalam tempoh itu, kata  Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik yang diperoleh daripada  Jabatan Imigresen (JIM), seramai 375 pendatang tanpa izin dan 54 majikan ditahan dalam 139 operasi penguatkuasaan di pasar borong dalam tempoh 1 Jan hingga 26 Sept tahun ini.

#TamilSchoolmychoice

“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen…selain itu, PBT (pihak berkuasa tempatan) telah ambil tindakan penguatkuasaan bersepadu bersama agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen terhadap warga asing.

“Sehingga kini, 599 operasi penguatkuasaan PBT dan 492 operasi penguatkuasaan bersepadu melibatkan pelbagai agensi lain terhadap warga asing dijalankan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Su Keong Siong (PH-Kampar) yang meminta statistik mengenai tindakan penguatkuasaan yang diambil terhadap pendatang tanpa izin yang berniaga tanpa kebenaran dalam negara dari Januari 2017 sehingga kini.

Mengenai langkah-langkah pemantauan yang dijalankan  kementerian bagi mengawal kegiatan pendatang tanpa izin berniaga secara haram, beliau berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan pada 29 Mac lepas melibatkan  kerjasama  kementerian itu dan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Wilayah Persekutuan.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengeluarkan surat kepada semua PBT pada 7 Ogos 2019 supaya meningkatkan operasi penguatkuasaan bersepadu bagi mengekang aktiviti perniagaan di pasar borong yang dikatakan dimonopoli warga asing.

“Sebagai langkah kawalan, warga asing tidak dibenar  menjalankan perniagaaan kecil seperti mengusahakan kedai runcit atau perniagaan menggunakan lesen milik penduduk tempatan,” katanya.

— BERNAMA