Home English News PRK Tg Piai: Karmaine, Wee harap persaingan sihat, henti sebar fitnah

PRK Tg Piai: Karmaine, Wee harap persaingan sihat, henti sebar fitnah

961
0
SHARE
Ad

PONTIAN: Dalam kehangatan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ketika ini, dua calon yang mewakili dua parti terbesar menaruh harapan semua pihak mengamalkan persaingan sihat tanpa memainkan isu politik secara ekstrem mahupun fitnah sepanjang tempoh kempen.

Berkongsi pendirian yang sama, calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini dan Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng menggesa pihak tertentu tidak menggunakan ‘laluan’ PRK tersebut untuk menyebar berita palsu dan berhenti mempolitikkan sesetengah isu yang dihadapi penduduk di kawasan Parlimen itu.

Bagi Karmaine, 66, isu yang sering dipolitikkan seperti kadar kenaikan harga sawit sentiasa menjadi ‘sumber’ kepada pihak tertentu untuk menjatuhkan parti gabungan yang diwakilinya, selain isu-isu tempatan yang sentiasa difikirkan penyelesaiannya oleh kerajaan.

#TamilSchoolmychoice

“Cukuplah bercakap mengenai kedudukan harga komoditi itu sebab kerajaan sudah mengumumkan harga kelapa sawit dalam keadaan yang stabil dan baik…operasi Terminal Feri Antarabangsa Kukup (yang ditutup sementara sebelum ini tetapi telah beroperasi semula semalam) juga sering dipolitikkan, jadi seeloknya berhenti mempolitikkan isu-isu sebegini.

“Kerajaan PH sentiasa memastikan kepentingan dan kesejahteraan bukan sahaja di Tanjung Piai tetapi seluruh rakyat terus terjamin,” katanya ketika ditemui sewaktu menghadiri program tinjauan mesra di sekitar kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) PH Telok Kerang, dekat sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai perbandingan strategi yang dibawa, Karmaine berkata pihaknya dan calon lain mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani isu penduduk tempatan.

“Masing-masing ada strategi tersendiri. Macam di pihak saya, kita akan berkempen dengan kerap turun padang dan berjumpa penduduk dari rumah ke rumah untuk kenali mereka lebih dekat,” katanya.

Sementara itu, Wee pula berkata secara umum semua pihak tidak seharusnya memfitnah mana-mana calon bertanding dalam pertandingan PRK itu, sebaliknya menggunakan peluang berkempen untuk mendekati dan menyelami masalah yang dihadapi penduduk setempat.

“… kita mesti bertanggungjawab dan di kawasan (Parlimen Tanjung Piai) ini, kita selalu mengamalkan permuafakatan harmoni serta sistem demokrasi. Maka, lebih baik kita tumpu untuk bantu rakyat dan mendengar rintihan mereka,” kata Wee.

Pertembungan kedua-dua calon ‘heavyweight’ itu juga dilihat menarik kerana kedua-dua mereka tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lepas, dengan majoriti tipis.

Pada PRU-14, Wee yang merupakan Ahli Parlimen Tanjung Piai selama dua penggal sejak 2008 gagal mempertahankan kerusi itu apabila tewas kepada calon PH Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dengan majoriti 524 undi manakala Karmaine yang bertanding di kawasan Parlimen bersebelahan, Pontian tewas 833 undi kepada calon BN Datuk Seri Ahmad Maslan.

“Saya bertanding kali ini sebab saya calon yang merupakan anak tempatan. Saya orang kampung (di sekitar kawasan Parlimen Tanjung Piai) sini. Ini adalah kampung saya dan fokus utama saya lebih kepada untuk menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi seluruh penduduk di Tanjung Piai,” kata Karmaine.

Bagi Wee pula, beliau kembali bertanding walaupun tewas tahun lepas kerana mempunyai hubungan baik dengan penduduk dan pengundi di kawasan Tanjung Piai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Tanjung Piai pada 16 Nov, manakala undi awal pada 12 Nov ini. Ia diadakan berikutan Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan Karmaine dan Wee dengan calon Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz, Wendy Subramaniam mewakili Gerakan serta dua calon bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

— BERNAMA