PONTIAN: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan mesyuarat tertutup bersama-sama ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) PH sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
Perdana Menteri yang memakai kemeja putih, tiba kira-kira pukul 4.45 petang sebelum memulakan mesyuarat tersebut kira-kira pukul 5 petang di sebuah hotel di sini.
Turut hadir Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Besar Johor merangkap Pengarah Jentera PH bagi PRK Parlimen Tanjung Piai Datuk Dr Sahruddin Jamal, Pengerusi Bersatu Johor Mazlan Bujang, Pengerusi Amanah Johor Aminolhuda Hassan, bekas Menteri Besar Johor merangkap ADUN Kempas Datuk Osman Sapian dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong Liew.
Kelihatan kira-kira 70 orang ketua PDM PH memakai baju merah berada dalam mesyuarat itu.
Dr Mahathir dijadualkan menghadiri Ceramah Mega PH sempena PRK itu di Tapak Terminal Bas Kukup, kira-kira 35 minit dari pekan Pontian.
Perdana Menteri sebelum ini pernah menyeru pengundi dan penduduk dalam kawasan Parlimen Tanjung Piai melalui sebuah video agar sama-sama hadir ke ceramah tersebut.
— BERNAMA