Home English News Skandal 1MDB: Pengurusan ke lucut harta Obyu Holdings 3 Feb 2020

Skandal 1MDB: Pengurusan ke lucut harta Obyu Holdings 3 Feb 2020

142
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 3 Feb tahun depan bagi pengurusan kes permohonan kerajaan untuk melucut hak terhadap harta yang disita daripada premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd berjumlah RM680 juta yang didakwa berkaitan dengan skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Faten Hadni Khairuddin ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad hari ini.

“Pada tarikh yang lepas Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah telah menarik diri daripada mendengar kes itu dan kami difahamkan kes ini akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang lain iaitu di hadapan Hakim  Datuk Muhammad Jamil Hussin,”katanya.

Beliau berkata pada tarikh itu juga pihaknya akan mendapat arahan selanjutnya berhubung permohonan berkenaan.

“Terutamanya, isu pembalasan afidavit-afidavit kerana pihak ketiga dalam kes ini ialah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan firma barang kemas, Global Royalty Trading SAL yang membuat permohonan untuk melihat barang kes,”katanya.

Pada 1 Nov lepas, Hakim Sequerah menarik diri daripada mendengar permohonan itu kerana beliau sedang mendengar perbicaraan kes Najib berhubung dana 1MDB.

Obyu Holdings dimiliki Tan Sri Bustari Yusof, adik bekas menteri kerja raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Dalam notis usul yang difailkan terhadap Obyu, kerajaan antaranya menyita sebanyak 11,991 unit barang kemas, jam tangan 401 utas dan 16 unit aksesori jam tangan, cermin mata 234 unit dan 306 beg tangan serta wang tunai berjumlah RM114,164,393.44 dalam pelbagai denominasi.

Sebahagian besar barangan mewah yang dirampas polis dilaporkan dari pangsapuri yang dimiliki oleh Obyu Holdings. Selain itu, sebuah hartanah di sebuah Daerah Kuala Lumpur turut disita pada 1 Nov 2018.

Permohonan lucut hak itu difailkan pendakwaan selaku pemohon terhadap Obyu yang dinamakan sebagai responden mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya berkata  SPRM memfailkan permohonan tersebut terhadap 41 responden untuk mendapatkan semula kira-kira RM270 juta yang mempunyai kaitan dengan 1MDB yang SPRM percaya wang berkenaan dipindahkan daripada akaun Najib.

— BERNAMA

Comments