Home English News Zahid terima dana politik RM1 juta dari Profound Radiance Sdn Bhd

Zahid terima dana politik RM1 juta dari Profound Radiance Sdn Bhd

124
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima ‘dana politik’ menerusi cek bernilai RM1 juta daripada syarikat Profound Radiance Sdn Bhd pada Januari 2018.

Perkara itu disahkan Penolong Pengurus Maybank cawangan Dataran Maybank, Harryade Mohamad Arbe, 46, semasa disoal peguam, Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid.

Hisyam: Boleh kamu baca apa yang dicatitkan di belakang cek itu?

Harryade: Political Fund to TPM (Dana Politik kepada Timbalan Perdana Menteri) bayar kepada Lewis & Co bertarikh 3 Januari 2018”.

Harryade juga bersetuju dengan Hisyam bahawa dua lagi cek daripada syarikat Profound Radiance masing-masing bernilai RM300,000 dan RM700,000 dibayar kepada Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah bagi Yayasan Akalbudi, adalah untuk kerja amal.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun, saksi pendakwaan ke-26 itu berkata pada 9 Jan 2018, terdapat pengeluaran Inward Clearing Chq Debit berjumlah RM1 juta dari syarikat Profound Radiance.

“Pengeluaran ini tercatat dalam penyata akaun Maybank atas nama syarikat sama bertarikh 31 Jan 2018.

“Saya sendiri yang mencetak penyata akaun tersebut. Saya juga menandatangani sijil perakuan yang sama berkaitan cetakan penyata akaun tersebut,” katanya.

Saksi itu berkata demikian semasa membacakan pernyataan saksi pada hari ke-12 perbicaraan kes Ahmad Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit.

Harryade berkata pada 4 Ogos 2017, terdapat pengeluaran Clearing Chq Debit menggunakan cek berjumlah RM300,000 dari akaun syarikat tersebut.

“Melalui pemahaman saya, cek ini telah ditebus (Clearance Cheque) pada 3 Ogos 2018 berdasarkan tarikh yang dicatatkan oleh mesin di ruangan belakang cek tersebut akan tetapi terdapat masalah sistem dari pihak Maybank kerana cek tersebut kemungkinan tidak dapat dibaca pada sistem.

“Wang tersebut didebitkan secara manual pada 4 Ogos 2018 dan pengeluaran ini tercatat dalam penyata akaun Maybank atas nama Profound Radiance Sdn Bhd bertarikh 31 Ogos 2017,” katanya.

Tambahnya, pada 15 Mac 2018 terdapat pengeluaran Inward Clearing Chq Debit berjumlah RM700,000 dari akaun Profound Radiance.

“Pengeluaran ini tercatat dalam penyata akaun Maybank atas nama Profound Radiance Sdn Bhd bertarikh 31 Mac 2018. Saya sendiri yang mencetak penyata akaun tersebut. Saya juga menandatangani sijil perakuan yang sama berkaitan cetakan penyata akaun tersebut,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-23, eksekutif di Public Bank Cawangan Tun HS Lee,  Rashidah Mohd Rahim, 44, memberitahu mahkamah bahawa terdapat pengeluaran wang daripada akaun Syarikat Jogabonito Jewellery And Diamonds melalui cek berjumlah RM250,000 dibayar kepada Lewis & Co pada 27 Jun 2016.

Pegawai Eksekutif Bank di RHB Islamic Bank Berhad Cawangan Utama Kuala Lumpur,  Faiz Azfar Mohamad Azahar, 35,  pula berkata terdapat 22 transaksi pengeluaran wang melalui cek daripada tiga syarikat berjumlah RM12. 5 juta.

“Sebanyak 10 transaksi pengeluaran wang melalui cek berjumlah RM5 juta daripada akaun Berani & Jujur Trading pada 8 Feb 2017 dan 12 transaksi pengeluaran melalui cek daripada akaun Mastoro Kenny IT Consultant & Services RM7. 5 juta pada 8 Dis 2016 dan 6 Jan 2017,” kata saksi pendakwaan ke-24 itu dan menambah kesemua cek tersebut dibayar kepada Lewis & Co.

Saksi pendakwaan ke-25, Penolong Pengurus Maybank Kompleks Pejabat Damansara, Hasnizailawaty Sudin, 47, berkata  terdapat dua pengeluaran Inward Clearing Chq Debit menggunakan cek berjumlah RM6 juta daripada akaun Sarana Kencana Sdn Bhd pada 26 April 2017 dan dibayar kepada  Lewis & Co pada 25 April 2017.

Ahmad Zahid, 66, menghadapi 47 pertuduhan, dengan 12 daripadanya bagi pecah amanah (CBT), lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 11 Feb 2020.

— BERNAMA

Comments