Home English News 138,901 pendatang asing tanpa izin sertai B4G

138,901 pendatang asing tanpa izin sertai B4G

1088
0
SHARE
Ad

PUTRAJAYA: Seramai 138,901 pendatang asing tanpa izin menyertai program ‘Back For Good’ (B4G) untuk permohonan pulang ke negara asal, setakat Khamis lepas, sejak program itu dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia pada 1 Ogos.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata warga Indonesia merekodkan jumlah tertinggi iaitu seramai 53,328 orang, diikuti Bangladesh (38,734), India (22,964), Myanmar (6,923) dan selebihnya dari negara lain.

“Kami menjangkakan jumlah ini semakin bertambah setiap hari sehingga ke hujung bulan.

#TamilSchoolmychoice

“Jabatan imigresen juga melanjutkan tempoh operasi sehingga 10 malam dan pejabat kami di seluruh Malaysia juga dibuka pada Sabtu dan Ahad,” katanya kepada media selepas program ‘Immigration Fun Run’ di sini hari ini.

Menjelang tarikh akhir program B4G, Khairul Dzaimee berkata jumlah pendatang asing tanpa izin yang menyertai program ini dijangka meningkat dengan mendadak kerana ramai yang suka menunggu saat-saat akhir dan beranggapan bahawa program ini akan disambung.

“Keputusan telah dibuat oleh kerajaan  bahawa tidak ada sambungan pada B4G dan akan berakhir pada 31 Dis ni. Selepas itu, jabatan akan melaksanakan operasi penahanan secara besar-besaran,” katanya.

Beliau turut menasihati pendatang asing tanpa izin yang berada di Lembah Klang untuk tidak bertumpu di Jabatan Imigresen di Putrajaya, sebaliknya mereka boleh juga pergi ke pejabat Imigresen yang kurang sibuk seperti di Terengganu, Pahang dan di utara Semenanjung.

Program B4G bertujuan memberi peluang kepada warga asing yang telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959 pulang ke negara asal secara sukarela mengikut syarat yang ditetapkan.

Mereka hanya perlu mendapatkan dokumen pengenalan diri yang lengkap daripada kedutaan besar dan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi masing-masing dan menyerahkan kepada pejabat Imigresen untuk diproses.

Selain itu, mereka perlu menyediakan bayaran kompaun sebanyak RM700 serta menunjukkan tiket penerbangan ke negara asal bagi tujuan itu.

Sementara itu, mengenai program hari ini, Khairul Dzaimee berkata seramai 2,300 peserta menyertai larian ini di mana 1,000 daripadanya adalah kakitangan Imigresen.

“Objektif utama Immigration Fun Run ialah mempromosikan kehidupan sihat dan merapatkan jabatan ini dengan masyarakat,” katanya.

— BERNAMA