GEORGE TOWN: Dua kelas di Pulau Pinang ditutup selepas beberapa murid dijangkiti influenza.
Ia melibatkan sebuah kelas Tahun 2 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kai Chee di Sungai Dua, Butterworth yang ditutup bermula hari ini hingga Ahad, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad.
Abdul Rashid berkata empat murid di dalam kelas itu dijangkiti influenza.
Satu lagi melibatkan kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Kepala Batas, yang akan terus ditutup hingga Khamis, katanya dan menambah kelas itu ditutup sejak Jumaat lepas.
Beliau turut memaklumkan dua kelas Tahun 2 di SJKC Li Hwa yang ditutup sejak 8 Jan dibuka semula hari ini.
“Sehingga hari ini seramai 226 murid membabitkan 110 sekolah rendah dan menengah di Pulau Pinang dijangkiti influenza berbanding 198 kes dari 96 sekolah Jumaat lalu,” katanya kepada Bernama dan menambah tujuh guru wanita daripada beberapa sekolah turut dijangkiti influenza.
— BERNAMA