Home English News SPR pamer rang daftar pemilih suku keempat 2019 esok

SPR pamer rang daftar pemilih suku keempat 2019 esok

841
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima 27,345 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak sepanjang suku keempat tahun 2019.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata dalam tempoh itu, sebanyak 11,869 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya diterima daripada pemilih berdaftar.

Beliau berkata ia selaras dengan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku keempat 2019 (ST4/2019) yang akan dipamerkan selama 14 hari mulai esok hingga 12 Feb di 914 tempat pameran di seluruh negara.

#TamilSchoolmychoice

“Pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Okt 2019 hingga 31 Dis 2019 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka.

“Sekiranya pemohon mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam RDPT ST4/2019, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata bagi pemilih berdaftar di mana-mana bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama individu dalam RDPT ST4/2019, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

“Tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada pendaftar pemilih (pengarah pilihan raya negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan,” katanya.

Semasa tempoh pameran itu, Azhar berkata SPR juga mempamerkan senarai nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih bagi mereka yang meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan.

Bagi pegawai dan anggota polis serta tentera yang telah tamat perkhidmatan, beliau berkata SPR bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam mengemas kini maklumat lokaliti pengundian mereka.

Untuk sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST4/2019, orang ramai boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-8892 7018 atau mana-mana pejabat pilihan raya negeri atau melayari portal SPR di www.spr.gov.my dan aplikasi telefon pintar MySPR Semak.

— BERNAMA