Home English News Hakim tegur peguam Rosmah tanya soalan sama terhadap saksi

Hakim tegur peguam Rosmah tanya soalan sama terhadap saksi

919
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Tinggi yang mendengar perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor berhubung projek tenaga solar, hari ini menegur pihak pembelaan kerana mengajukan soalan sama kepada saksi pendakwaan kelima, bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat teguran itu selepas peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh berulang kali bertanyakan soalan mengenai dakwaan Mahdzir menerima wang RM50,000 seperti yang disiarkan di dalam artikel sebuah akhbar tempatan dan penahanannya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kamu sudah menyoalnya. Kenapa mengulangi soalan yang sama?” tegur Mohamed Zaini menyebabkan seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader mencelah: “Ia membabitkan wang jutaan ringgit”.

#TamilSchoolmychoice

Hakim itu seterusnya bertanyakan kepada Jagjit berapa lama lagi masa yang diperlukan untuk pemeriksaan balas dan peguam itu menjawab “tidak lama lagi.”

Jawapannya itu menyebabkan Mohamed Zaini memutuskan untuk menyambung prosiding pada sebelah petang, dan ketika semua pihak terlibat dalam kes itu meninggalkan bilik bicara, Rosmah dilihat tidak berganjak dari tempat duduk tertuduh.

Tindakannya itu menyebabkan Jagjit mengemukakan permohonan supaya mahkamah bersidang semula dan beliau kemudian memohon supaya prosiding sebelah petang dilapangkan atas alasan anak guamnya tidak sihat.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan perbicaraan bersambung esok.

Terdahulu ketika pemeriksaan balas oleh Jagjit, Mahdzir, 59, memberitahu mahkamah, beliau tidak tahu Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin dan rakan kongsinya, Rayyan Radzwill Abdullah telah ditahan oleh SPRM dan saksi itu juga tidak tahu Rayyan telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit bahawa semasa proses rakaman percakapan, Saidi dan Rayyan telah memaklumkan kepada SPRM bahawa terdapat bayaran sebanyak RM50,000 dibuat kepadanya (Mahdzir).

Jagjit: Sebab itu terdapat laporan berita mengenai “Menteri Dijanjikan Habuan” dan dakwaan kamu terima RM50,000.

Mahdzir: Saya tidak ingat.

Mahdzir, yang memberi keterangan selama empat hari dalam perbicaraan kes itu juga menafikan beliau telah ditahan reman oleh SPRM berhubung perkara itu dan tidak bersetuju dengan cadangan Jagjit bahawa beliau tidak akan dituduh di mahkamah sekiranya membantu pihak Jabatan Peguam Negara dengan menjadi saksi dalam kes ini.

Kepada cadangan lain oleh Jagjit, bekas menteri itu berkata tiada keperluan untuk beliau memaklumkan kepada Kabinet dan Dewan Rakyat mengenai ketidakmampuan Jepak Holdings membekalkan diesel dan menyelenggara genset diesel untuk 369 buah sekolah di Sarawak berikutan projek itu adalah di bawah Kementerian Pendidikan.

“Jadi tidak perlu ‘bawa keluar’ (dari kementerian),” kata naib presiden UMNO itu.

Rosmah, 68, berdepan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi menerusi bekas pembantu Rosmah iaitu Datuk Rizal Mansor  sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini dan di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 Sept, 2017.

— BERNAMA