Home English News Halang tugas anggota imigresen: Seorang lagi ditahan

Halang tugas anggota imigresen: Seorang lagi ditahan

751
0
SHARE
Ad

PETALING JAYA: Seorang lagi lelaki ditahan bagi membantu siasatan insiden anggota penguat kuasa Imigresen dihalang daripada melakukan operasi di Batu Caves dekat sini, Jumaat lepas, menjadikan jumlah tangkapan setakat ini tiga orang.

Ketua Polis Selangor Datuk Noor Azam Jamaludin berkata suspek berumur 38 tahun itu ditahan di sekitar Batu Caves pukul 9 malam tadi.

“Polis sedang mengesan beberapa lagi orang yang ada dalam rakaman video yang tular untuk membantu siasatan insiden itu,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya di sini, hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Beliau berkata pihaknya masih menyiasat sama ada ketiga-tiga lelaki yang telah ditahan itu terlibat dengan mana-mana kumpulan kongsi gelap.

“Polis akan jalankan siasatan daripada semua sudut berhubung perkara ini,” katanya dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan 506 Kanun Keseksaan.

Semalam, Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata polis menahan dua lelaki berusia 47 dan 56 tahun bagi membantu siasatan insiden anggota penguat kuasa Imigresen yang dihalang daripada melakukan operasi di kawasan peniaga haram di Batu Caves dekat sini.

Jumaat lepas, tular di media sosial yang memaparkan kira-kira 50 anggota penguat kuasa Imigresen Selangor dihalau keluar sekumpulan individu dari kawasan peniaga haram dipercayai dikendalikan warga asing dari India dan Pakistan di Batu Caves.

Insiden itu turut mendapat perhatian Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa perbuatan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek keselamatan negara, malah mengganggu peniaga tempatan menjalankan aktiviti harian mereka.

Pada majlis itu, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Petaling Jaya yang baharu menggantikan SAC Mohd Zani Che Din.

Mohd Zani telah dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7) Pencegahan Judi/Maksiat/Gangsterism, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang baharu.

— BERNAMA