Home English News Sinar baharu untuk Kelantan selepas sertai kerajaan persekutuan- Penganalisis Politik

Sinar baharu untuk Kelantan selepas sertai kerajaan persekutuan- Penganalisis Politik

1015
0
SHARE
Ad

KOTA BHARU: Selepas 28 tahun Kelantan, yang diperintah PAS sejak 1990 mendakwa dipinggirkan daripada arus pembangunan negara, kini negeri ini bakal mengecapi “sinar baharu” selepas bersama-sama Muafakat Nasional membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu, menurut penganalisis politik.

Pensyarah Pusat Pengajian Jarak Jauh (PACE) Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Nik Mawardi Mohamed berkata Kelantan dijangka berpeluang mengulangi detik-detik manis ketika bersama kerajaan campuran Perikatan dari 1973 hingga 1974 dan Barisan Nasional (BN) dari 1974 hingga 1977.

Beliau berkata ketika itu Kelantan mempunyai kelebihan bila pemimpinnya Tan Sri Mohd Asri Muda dilantik sebagai menteri Kabinet bersama-sama pemimpin BN.

#TamilSchoolmychoice

“Penyertaan PAS dalam kerajaan Persekutuan akan memberi ruang yang luas untuk mendapatkan dana yang lebih besar untuk membangunkan negeri ini.

“Satu daripada isu utama yang akan diperjuangkan oleh kerajaan negeri Kelantan pastinya tuntutan royalti petroleum yang telah sekian lama tertangguh dan kini berpotensi diselesaikan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, penganalisis politik itu berkata jika kerajaan Persekutuan yang turut didukungi PAS meluluskan tuntutan royalti petroleum itu, pasti “wajah Kelantan” akan bertukar.

“Begitu juga dengan Ahli Parlimen PAS dari Kelantan yang berpeluang cerah untuk dilantik menyertai Kabinet kerajaan Persekutuan dan ini akan membolehkan pembangunan Kelantan berjalan lebih rancak.

“Semua perkembangan ini akan memberikan satu sinar baharu yang jauh lebih cerah kepada masa hadapan Kelantan sekali gus menjadikan rakyatnya mampu tersenyum, asal sahaja kerajaan baharu ini tidak tumbang di pertengahan jalan,” kata Nik Mawardi.

Sementara itu, pemerhati politik Datuk Sayuti Mukhtar yakin lebih banyak penyaluran bantuan akan diberikan kepada Kelantan dalam membangunkan negeri ini.

“Ketika BN menjadi kerajaan Persekutuan tidak dinafikan penyaluran bantuan kepada Kelantan tidak pernah terbantut dan banyak projek yang dibawa ke negeri ini namun selepas ini saya yakin ia akan bertambah.

“Saya lihat penyatuan parti politik di bawah Perikatan Nasional ini akan memberi kesan besar terhadap pembangunan Kelantan selepas ini dan rakyat Kelantan perlu bersyukur dengan kemajuan yang akan dibawa oleh kerajaan baharu ini,” katanya.

— BERNAMA