Home English News Pesara tidak tahu lima cek RM366,000 dibayar kepada Lewis & Co

Pesara tidak tahu lima cek RM366,000 dibayar kepada Lewis & Co

899
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Seorang pesara memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau tidak mengetahui lima keping cek berjumlah RM366,000 yang ditukar kepada matawang Australia untuk pendahuluan pembelian rumah, dibayar kepada Tetuan Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

T. Rajan, 69, berkata beliau hanya menulis tarikh, jumlah dan menandatangani cek-cek itu tanpa nama penerima sebelum diserahkan kepada pengurup wang.

#TamilSchoolmychoice

“Saya tukar cek-cek itu sekitar Jun dan Julai 2016. Cek-cek itu ditukarkan kepada mata wang Australia lebih A$90,000 untuk membayar wang pendahuluan pembelian rumah anak perempuan saya di Australia,” katanya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong.

Beliau berkata demikian pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid, 67, yang berdepan 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Yayasan Akalbudi, lapan pertuduhan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Harris Ong: Mengapa anda membiarkan kosong di ruangan penerima dan hanya mengisi amaun, tarikh serta menandatangani cek-cek berkenaan sebelum diserahkan kepada pengurup wang.

Rajan: Saya memang selalu membiarkan kosong ruangan penerima setiap kali menukar wang apabila ingin ke luar negara dan selalunya saya menyerahkan cek kepada individu bernama ‘Omar’ daripada kedai pengurup wang itu.

Harris Ong: Bila anda (Rajan) tahu cek tersebut dibayar kepada Lewis & Co?

Rajan: Saya hanya mengetahui Lewis & Co ditulis sebagai penerima cek-cek tersebut apabila dihubungi pihak bank selepas dua minggu menyerahkan cek itu.

Harris: Selepas bank maklumkan bayar kepada Lewis & Co, apakah reaksi anda?

Rajan: Tak ada apa-apa. Saya tak tahu siapa Lewis & Co, saya dah dapat duit saya. Bank tanya saya adakah kamu keluarkan cek ini, saya jawab ya.

Terdahulu, dua pegawai bank masing-masing dari CIMB dan Maybank memberitahu mahkamah bahawa transaksi cek daripada Syarikat Ekares Sdn Bhd dan Rajan yang kreditkan kepada Lewis & Co pada 2016 adalah tidak menyalahi undang-undang.

Penolong Pengurus Khidmat Pelanggan di Cawangan CIMB Bank Menara Binjai, Sharifah Aspaniza Syed Mustapha, 53, dan Penolong Pengurus di Cawangan Wisma FGV Maybank Berhad, Syahrul Ridzwan Nawawi, 35, berkata 16 cek CIMB daripada Ekares berjumlah lebih RM4.5 juta dan lima cek Maybank (RM366,000) daripada Rajan dikreditkan kepada firma guaman itu.

Mereka yang masing-masing saksi pendakwaan ke-40 dan 41, memaklumkan demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Ahmad Zahid.

Disoal Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi semasa pemeriksaan semula sama ada pihak bank mengetahui tujuan pembayaran itu dibuat, Sharifah Aspaniza menjawab “tidak”.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 23 Mac ini.

— BERNAMA