Home English News Halimah disaran guna formula “Bangsa Johor”, “Muafakat Johor” tangani isu perpaduan

Halimah disaran guna formula “Bangsa Johor”, “Muafakat Johor” tangani isu perpaduan

989
0
SHARE
Ad

JOHOR BAHRU: Formula “Bangsa Johor” dan “Muafakat Johor” mungkin boleh digunapakai oleh Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam menangani isu perpaduan yang disifatkan sering dipermainkan segelintir pihak yang memainkan isu perkauman di Malaysia.

Menurut seorang ahli perniagaan, Ling Tian Soon, 36, terlalu banyak isu perkauman dibangkitkan sehingga dilihat boleh menjejaskan keharmonian masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa dan kaum.

“Sebelum ini, terlalu banyak isu perkauman dimainkan sehingga ada kalanya terdapat ketegangan hubungan antara kaum dan sekarang, Datuk Halimah dari Johor yang mana semua tahu kita di Johor ada formula ‘Bangsa Johor’.

#TamilSchoolmychoice

“Muafakat Johor pula telah terbukti berjaya menyatupadukan kita di sini yang boleh dijadikan satu ‘role model’ atau dijadikan contoh untuk menghidupkan kembali keutuhan dalam kalangan kaum iaitu “Bangsa Malaysia” dan semangat ini harus dibawa,” kata beliau kepada Bernama, ketika dihubungi, di sini.

Halimah, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, dilantik menjadi Menteri Perpaduan Negara.

Turut berkongsi pandangan sama, Yang Dipertua Anak Yatim Islam Kota Tinggi Datuk Mohammad Mammod, 64, yang menyifatkan keperibadian Halimah yang berjaya menambat hati masyarakat pelbagai kaum di daerah Kota Tinggi.

“Memang sesuai Datuk Halimah dilantik sebagai Menteri Perpaduan kerana sewaktu beliau di parlimen kami, beliau berjaya menambat hati kaum lain seperti kaum Cina dan India. Pandai menjaga hati orang dan kebanyakan masyarakat berbilang kaum di sini memang sayang dan menyenangi beliau,” katanya yang juga Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia.

Sementara itu, Pengerusi MIC Johor yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri R Vidyananthan menyifatkan perlantikan Halimah adalah keputusan tepat.

“Saya menyambutnya baik. Individu tepat untuk tugas itu,” kata beliau.

— BERNAMA