Home Nation Covid-19 : Melindungi kanak-kanak tanggungjawab bersama

Covid-19 : Melindungi kanak-kanak tanggungjawab bersama

767
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini  mengisytiharkan situasi penularan COVID-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira peningkatan kes secara mendadak di seluruh dunia.

Dalam tempoh dua minggu yang lalu, fokus penularan COVID-19 berubah dari negara China ke seluruh dunia. Jumlah kes melonjak sehingga kini melebihi 180,000 dan jumlah kematian melebihi 7,000 orang di 162 buah negara. Perubahan ini berlaku secara mendadak – bagaikan belut dicubit ekor.

Penularan COVID-19 dijangka terus meningkat. Situasi terkini di Malaysia juga amat membimbangkan. Sehingga Isnin 16 Mac, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 dilaporkan sebanyak 553 kes dan kebanyakan dari kes positif adalah dari kalangan orang dewasa.

#TamilSchoolmychoice

Senario yang sama juga dilihat di negara lain di mana kes positif dan kes kematian kebanyakannya terdiri daripada warga emas atau orang dewasa yang mempunyai masalah kesihatan. Kajian dari negara China yang melibatkan 44,000 kes positif, melaporkan kurang dari satu peratus kes adalah dari kalangan kanak-kanak yang berumur bawah 10 tahun.

Mengapakah kadar jangkitan ini kecil atau kurang di kalangan kanak-kanak?  Mengapakah kelakuan virus SARS-COV-2 ini berbeza dari virus lain seperti seasonal influenza di mana keterukan penyakit jangkitan pernafasan melibatkan dua golongan iaitu kanak-kanak dan warga emas?

Ini disebabkan oleh sistem imun kanak-kanak yang masih belum membangun dan sistem imun warga emas yang semakin lemah. Tetapi bagi COVID-19 lain pula gambarannya.  Pelbagai teori diketengahkan, tetapi hingga kini sebab sebenar masih belum dapat dikenalpasti. COVID-19, satu penyakit novel – penyakit baru yang dunia tidak pernah dikenali sebelum ini.

Walaubagaimanapun, kanak-kanak masih boleh dijangkiti COVID-19. Apakah simptom COVID-19 yang ditunjukkan oleh kanak-kanak? Simptomnya adalah sama pada kanak-kanak dan orang dewasa – demam, batuk dan sukar bernafas, tetapi dalam kalangan kanak-kanak, simptom secara amnya ringan.

Jadi, apakah yang boleh dilakukan bagi melindungi dan mencegah kanak-kanak daripada dijangkiti COVID-19?

  • Pastikan mereka kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer

  • Pastikan mereka menutup mulut dengan etika yang betul apabila bersin atau batuk, atau dengan menggunakan tisu dan membuang tisu tersebut ke dalam tong sampah. Kemudian cuci dengan sabun dan air atau hand sanitizer

  • Pastikan mereka menjauhkan tangan dari muka

  • Elakkan anak-anak dari bersalaman dengan orang lain

  • Jauhkan mereka daripada orang yang sakit  

  • Ibu bapa dan anak-anak juga harus memastikan pemakanan yang diambil seimbang, yang dimasak cukup kandungan karbohidrat, protein, lemak, serat dan vitamin serta galian. Minumlah air masak yang mencukupi bagi mengekalkan status kesihatan.

  • Elakkan dari mengunjungi tempat tumpuan ramai terutamanya pada waktu cuti sekolah ini – amalkan social distancing (atau menjarakkan hubungan sosial). Rancang aktiviti untuk anak-anak di rumah

Melindungi dan memastikan langkah pencegahan dan kawalan diambil bagi melindungi kanak-kanak adalah tanggungjawab semua. Amalan social distancing amat penting untuk mengurangkan kadar penularan pandemik COVID-19.

Kadar penularan pandemik COVID-19 dapat dikurangkan dengan cara melewatkan puncak epidemik, mengecilkan saiz puncak epidemik dan memanjangkan tempoh penularan kes agar bebanan terhadap sistem kesihatan dikurangkan.

Sekiranya langkah-langkah ini diabaikan, ianya akan memburukkan lagi penularan wabak. Kejayaan pendekatan social distancing bergantung kepada penglibatan semua individu dalam masyarakat.

Ayuh kita lakukannya!