Home English News Covid-19: Impak pandemik ekonomi dan dasar pemulihan

Covid-19: Impak pandemik ekonomi dan dasar pemulihan

2195
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR:  Wabak Coronavirus atau COVID-19 yang dikatakan bermula dari pasar basah Wuhan di China merebak dengan pantas di seluruh dunia dan dikategorikan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada 11 Mac 2020.

Sehingga saat ini, jangkitannya menjangkau lebih 180 buah negara termasuk Malaysia dengan mencatatkan jumlah kes lebih sejuta dengan kematian mengatasi 80,000.  Di Malaysia sendiri, jumlah jangkitan melebihi 3,000 orang dengan 63 kematian,setakat hari ini.

#TamilSchoolmychoice

Menurut kajian oleh JP Morgan dan ramalan yang dibuat oleh WHO, Malaysia akan mencapai kemuncak pada pertengahan April dengan jangkaan jumlah jangkitan COVID-19 melebihi 6,000 orang. Kerajaan Malaysia mengambil langkah proaktif untuk mengelak penularannya dengan melaksanakan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama bermula dari 18 hingga 31 Mac 2020.

PKP yang kedua pula diumumkan untuk tempoh dari 1 hingga 14 April 2020 dengan beberapa kawasan panas dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). Walaupun kadar kepatuhan pada PKP adalah pada 95%, bilangan dijangkiti dan jumlah kematian terus mencatatkan peningkatan. Sudah pasti pandemik COVID-19 akan memberi impak kepada ekonomi dunia dan Malaysia secara khususnya.

COVID-19 menyebabkan struktur ekonomi dunia mengalami keadaan kejutan dan ketidakpastian. Terkini, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengisytiharkan ekonomi dunia memasuki fasa kemelesetan ekonomi disebabkan aktiviti ekonomi yang terganggu akibat wabak COVID-19. Dijangkakan kemelesetan ekonomi ini jauh lebih teruk dari apa yang berlaku pada krisis ekonomi subprime pada 2008. Krisis kewangan subprime 2008 adalah berpunca dari penguncupan kecairan dalam sistem perbankan akibat pecahnya gelembung perumahan di Amerika Syarikat.

Manakala krisis ekonomi yang berpunca dari COVID-19 melibatkan hampir keseluruhan negara di dunia dan dijangka akan mengambil masa yang lebih lama untuk pulih selagi mana jumlah jangkitan COVID-19 terus meningkat yang menyebabkan ekosistem ekonomi terganggu.

Kajian  Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Bank Dunia  meramalkan dunia akan kehilangan pertumbuhan output KDNK sebanyak 2.4 peratus pada 2020 kesan daripada COVID-19. Malah Bloomberg menyatakan pertumbuhan KDNK boleh mencapai kadar sifar atau negatif dalam keadaan kes yang paling teruk. COVID-19 juga memberi kesan kejutan negatif kepada pasaran buruh. Daripada segi jumlah pekerjaan, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) meramalkan sebanyak 25 juta pekerja akan kehilangan pekerjaan di seluruh dunia.

Malaysia sebagai sebuah negara kecil dan bergantung kepada negara luar seperti Amerika Syarikat dan China juga dijangka tidak terlepas daripada mendapat kesan pandemik COVID-19. Menurut laporan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pertumbuhan dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan menguncup sebanyak 2.61% pada 2020.

Bank Negara Malaysia (BNM) juga baru-baru ini mengeluarkan kenyatan ketika membentangkan laporannya yang menyatakan pertumbuhan ekonomi dijangka berada sekitar negatif -2.0 hingga +0.5 peratus. Dari segi jumlah guna tenaga pula, dianggarkan seramai 951,000 orang akan kehilangan pekerjaan.

Dari segi jumlah guna tenaga, dianggarkan seramai 951,000 orang akan kehilangan pekerjaan. Selain itu, dapatan tinjauan Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) meramalkan sebanyak lebih kurang 40 peratus syarikat perusahan kecil dan sederhana (PKS) akan berhenti beroperasi sekiranya rantaian COVID-19 berlanjutan antara tiga hingga enam bulan.

Dalam menghadapi gelombang COVID-19 pada masa kini, kerajaan perlu menumpukan pada dua matlamat iaitu pertama, memastikan langkah perlindungan dan keselamatan dilakukan bagi mengekang dan menghapuskan rantaian jangkitan COVID-19; kedua, mengurangkan kesan negatif ekonomi segera dari COVID-19 dengan melaksanakan dasar pemulihan melibatkan sasaran aktif dasar fiskal dan dasar kewangan.

Sasaran dasar fiskal adalah dasar berkaitan perbelanjaan kerajaan dan percukaian, manakala dasar kewangan adalah dasar berkaitan kadar faedah, kecairan dan pengawalan bekalan wang.

Dari segi dasar fiskal, kerajaan telah mengumumkan beberapa siri pakej rangsangan ekonomi bagi membantu individu atau syarikat yang terjejas. Pada awalnya, “Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE 2020)” yang di umumkan pada 19 Mac, sejumlah RM20 bilion adalah untuk membantu industri yang terjejas secara langsung akibat gelombang pertama Covid-19 seperti perhotelan dan pengangkutan.

Namun, selepas berlakunya gelombang kedua Covid-19, lebih ramai individu dan syarikat yang terjejas. Dengan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berlakunya kejutan rantaian penawaran kerana hampir keseluruhan sektor kini tidak dapat bekerja dan ada syarikat yang terpaksa memberhentikan pengeluaran dan lebih teruk memberhentikan pekerja kerana tidak mampu menanggung kos.

Rentetan itu, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan kedua iaitu Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) PRIHATIN sebanyak RM250 bilion yang diharap dapat memberikan manfaat kepada semua tingkat pendapatan isi rumah dan syarikat.

Daripada jumlah ini, RM20 bilion adalah dari PRE 2020 yang terdahulu dan RM230 bilion adalah rangsangan tambahan. Selebihnya RM230 bilion datang daripada suntikan langsung fiskal (RM22 bilion), moratorium pinjaman (RM100 bilion), jaminan kerajaan (RM55 bilion), pengeluaran dari KWSP (RM40 bilion) dan sumber-sumber lain (RM13 bilion).

Objektif utama adalah untuk melindungi kebajikan rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuhkan ekonomi. Namun, pakej rangsangan ekonomi yang dijalankan kerajaan pastinya akan menyebabkan kedudukan fiskal negara semakin meruncing. Malah, krisis ekonomi global menyebabkan harga minyak dunia sekarang jatuh ke paras yang terendah sekitar AS$25-30 setong berbanding dengan harga pada belanjawan 2019 iaitu AS$62 setong. Ini akan mengurangkan hasil kerajaan yang datangnya dari hasil minyak sekaligus menyumbang kepada pertambahan defisit.

Dari segi dasar kewangan, Bank Negara Malaysia (BNM) juga mengambil langkah mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19 dengan menurunkan kadar faedah wang semalaman (OPR) sebanyak 25 asas mata kepada 2.5% dan penurunan nisbah keperluan rizab (SRR) sebanyak 100 mata asas kepada 2%.

Ini dapat mengurangkan kos pinjaman, meningkatkan kecairan dan seterusnya merancakkan semula kegiatan ekonomi. Selain itu, langkah penyusunan dan penjadualan semula moratorium selama enam bulan dapat memastikan pasaran modal dan kewangan kembali stabil dan dapat membantu individu isi rumah dan juga syarikat yang mengalami masalah kewangan dan kekangan kecairan.

Sukar untuk diramalkan bila ekonomi akan pulih sepenuhnya selagi mana kes jangkitan COVID-19 terus mencatatkan peningkatan dan tiada vaksin pencegahan ditemui. Namun, kedua-dua dasar fiskal serta dasar monetari ini saling melengkapi dan dapat membantu meningkatkan semula ekonomi dengan meningkatkan permintaan agregat seperti penggunaan dan pelaburan awam dan swasta.

Ini akan membantu merancakkan semula pertumbuhan ekonomi melalui kesan pengganda dan kesannya tingkat pengangguran dapat dikurangkan.

— BERNAMA