Home English News Hampir 50 kes keganasan rumah tangga dilapor di Perak sepanjang PKP

Hampir 50 kes keganasan rumah tangga dilapor di Perak sepanjang PKP

813
0
SHARE
Ad

IPOH: Sebanyak 49 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di Perak sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak SAC Anuar Othman.

Beliau berkata, 12 daripadanya melibatkan kes suami mendera isteri manakala 11 lagi kes gaduh sehingga melibatkan anak dan selebihnya adalah kes membabitkan adik-beradik serta anggota keluarga yang lain.

“Kebanyakan kes suami mendera isteri dilakukan oleh individu berusia antara 31-40 tahun, kes gaduh hingga melibatkan anak pula membabitkan mereka yang berusia 31-50 tahun dan lain-lain kes berusia antara 20 dan 50 tahun.

#TamilSchoolmychoice

“Setakat ini, 17 kes keganasan rumah tangga semasa PKP telah dituduh di mahkamah manakala selainnya masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Antara faktor yang menjadi punca kes dera ialah terlibat dalam penagihan dadah serta masalah kewangan sehingga mencetuskan pergaduhan dalam kalangan keluarga.

“Kebanyakan kes diterima melalui aduan yang dilaporkan sendiri oleh pengadu yang juga mangsa,” katanya.

Anuar menasihati mangsa yang menghadapi situasi keganasan rumah tangga supaya tidak takut membuat aduan dan jiran yang mempunyai maklumat juga boleh menghubungi balai polis terdekat atau talian Nur 15999.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Norashikin Wan Noordin berkata, setakat ini empat kes keganasan rumah tangga diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dengan dua daripadanya direkodkan di daerah Kinta, manakala masing-masing satu bagi Manjung serta Batang Padang.

Mengakui pelaksanaan PKP sedikit sebanyak memberi kesan kepada emosi seseorang, Wan Norashikin menasihati agar suami isteri lebih bersabar selain memanfaatkan bulan Ramadan untuk mengeratkan hubungan rumah tangga.

“Jika ada masalah selesaikan dengan baik, dan bagi sesiapa yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga jangan malu atau segan untuk laporkan kepada pihak berkuasa atau JKM,” katanya.

— BERNAMA