Home English News Selagi PnP boleh dilaksana, guru tidak perlu bimbang jika berada luar stesen...

Selagi PnP boleh dilaksana, guru tidak perlu bimbang jika berada luar stesen bertugas

927
0
SHARE
Ad

SHAH ALAM: Guru tidak perlu bimbang sekiranya terkandas di kampung atau berada di luar stesen bertugas dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selagi proses Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) boleh dijalankan dari lokasi mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan Muslimin Yahaya berkata ini kerana proses PnP secara dalam talian yang dilaksanakan ketika ini tidak semestinya dilakukan dari stesen mereka bertugas.

Malah kehadiran guru ke sekolah pula hanya apabila mereka diperlukan sahaja memandangkan institusi itu masih ditutup akibat penularan wabak COVID-19.

#TamilSchoolmychoice

“Mana-mana guru yang berada di kawasan rentas sempadan stesen bertugas, mereka hanya perlu memohon kebenaran daripada pentadbir sekolah (untuk melaksanakan PnP secara dalam talian dari lokasi itu),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan daripada Majlis Guru Besar Selangor berjumlah RM20,000 kepada Tabung Frontliners COVID-19 Sinar Harian di sini, hari ini.

Muslimin berkata walaupun pelaksanaan PKPB ketika ini membenarkan penjawat awam kembali bekerja di stesen masing-masing, namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai solusi terbaik untuk warga pendidik terus melaksanakan tugas mereka dari rumah seperti disarankan kerajaan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Ditanya mengenai perancangan terkini KPM berkaitan pembukaan semula sesi persekolahan, Muslimin berkata setakat ini kementerian mungkin memberi fokus untuk tujuan itu bagi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan awam.

“Selain kelas peperiksaan awam, kita belum ada sebarang perancangan untuk membuka semula sekolah terutamanya sekolah rendah dan sebagainya.

“Dan bagi tujuan ini (pembukaan sekolah untuk kelas peperiksaan), kita meneliti garis panduan serta melihat susun atur malah telah menjalankan simulasinya. Semua berjalan lancar dan kita akan menggunakan kaedah terbaik untuk memastikan keselamatan pelajar kelas peperiksaan ini terjamin apabila sekolah dibuka semula kelak,” katanya.

— BERNAMA