Home English News Isu Arak: Kerajaan Kedah, Perak akan turuti langkah kerajaan pusat, sokong perketat...

Isu Arak: Kerajaan Kedah, Perak akan turuti langkah kerajaan pusat, sokong perketat undang-undang

201
0
SHARE

ALOR SETAR:  Kerajaan Negeri Kedah akan mengambil tindakan yang selari dengan kerajaan pusat dalam isu berkaitan cadangan mengkaji semula undang-undang membabitkan penjualan arak di negeri ini.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kerajaan Persekutuan mempunyai lebih bidang kuasa dalam perkara berkenaan, justeru apa sahaja yang akan diputuskan di peringkat pusat akan diikuti kerajaan negeri.

“Kedah ambil sikap sokong apa-apa sahaja ketetapan yang dibuat di peringkat Persekutuan dalam menjaga nyawa orang ramai yang lebih penting.

Cadangan untuk perketat peraturan dan tingkatkan hukuman, misalnya membayar pampasan kepada keluarga mangsa, saya rasa ia munasabah untuk dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai sama ada perlu penjualan arak di negeri ini khususnya di Langkawi dibekukan , ekoran banyak berlaku kemalangan jalan raya membabitkan pemandu disyaki mabuk sehingga menyebabkan kematian kebelakangan ini.

Muhammad Sanusi berkata, setiap keputusan yang dibuat juga perlu mengambil kira hak masyarakat bukan Islam kerana halangan tidak boleh dikenakan jika agama mereka tidak melarang sesuatu perkara itu termasuk minum arak.

Sementara itu di IPOH, Kerajaan Negeri Perak sedang memperhalusi pelbagai cadangan berkaitan pengambilan dan penjualan arak termasuk memperketat Prosedur Operasi Standard (SOP) susulan banyak kemalangan jalan raya disyaki disebabkan oleh pemabuk kebelakangan ini.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata sekiranya SOP diperketat ia akan dilaksanakan dengan kerjasama pihak polis, namun sebarang keputusan bakal mengikut ketetapan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita akan lihat kepada keperluan sama ada untuk membeku (pengeluaran lesen baharu) buat sementara atau hanya perlu mengeluarkan SOP yang lebih ketat dengan kerjasama pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pertandingan POP Travels Cer Citer di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata sebarang keputusan untuk terus menghapuskan penjualan arak perlu dilihat secara teliti kerana dibimbangi ia akan menyebabkan orang ramai mendapatkannya secara haram.

“Saya percaya kalau kita hapuskan terus, ia bukan perkara mudah tetapi apa yang penting adalah mendidik orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dengan mengehadkan kuantiti pengambilan alkohol.

“Jika anda mahu minum arak, minum dengan rasa bertanggungjawab, anda tidak sekali-kali minum sebelum memandu. Jangan main-main perkara ini, arak adalah satu perkara yang boleh menjadi pembunuh utama, saya risau,” katanya.

Di SEREMBAN, pula  Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata permohonan baharu lesen penjualan arak masih mengikut prosedur sedia ada yang telah ditetapkan oleh Lembaga Perlesenan Eksais di setiap daerah di negeri ini.

“Di Negeri Sembilan kita tiada isu yang melibatkan pemberian lesen baharu tetapi setakat ini hanya permohonan memperbaharui lesen sedia ada sahaja yang kita ada terima maknanya tiada lesen baharu diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Katanya syarat sedia ada bagi permohonan baharu lesen penjualan arak adalah sangat ketat dan bukan mudah untuk diperoleh.

“Kerajaan negeri akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Lembaga Perlesenan Eksais yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah di setiap negeri sebelum memproses sesuatu permohonan baharu,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk menimbang cadangan mengkaji semula undang-undang membabitkan penjualan arak berikutan semakin banyak kemalangan jalan raya membabitkan pemandu disyaki mabuk sejak kebelakangan ini.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin, berkata sebarang keputusan berkaitan undang-undang berhubung penjualan arak perlu dibuat secara teliti kerana ia membabitkan jangka panjang dan tidak boleh dilakukan secara ad hoc.

— BERNAMA

Comments