Home English News Moratorium: Jangan tunggu saat akhir, rancang kewangan anda sekarang- AKPK

Moratorium: Jangan tunggu saat akhir, rancang kewangan anda sekarang- AKPK

1351
0
SHARE
Ad

KUALA LUMPUR- Tempoh moratorium atau penangguhan pembayaran balik pinjaman yang dilaksanakan kerajaan bagi membantu individu serta perusahaan kecil dan sederhana menghadapi kekangan kewangan susulan penularan pandemik COVID-19 hanya berbaki kira-kira tiga bulan.

Persoalannya, bersediakah mereka yang memanfaatkan fasiliti moratorium itu untuk kembali membayar balik pinjaman pasca-COVID-19 atau masih mengharapkan pelanjutan tempoh moratorium selama enam bulan tersebut yang akan berakhir pada 30 Sept ini.

Pengurus Besar (Bahagian Operasi) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) Nor Fazleen Zakaria berkata peminjam perlu memahami bahawa moratorium itu hanya satu fasiliti yang diberikan kerajaan bagi meringankan beban mereka dalam menghadapi situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

#TamilSchoolmychoice

Memandangkan moratorium itu akan tamat tidak lama lagi, beliau berkata peminjam perlu mula merancang kewangan mereka seawal mungkin, sebaik-baiknya sekarang.

“Jangan tunggu hingga saat-saat akhir, sekalipun pembayaran balik pinjaman hanya akan bersambung semula pada Oktober. Merancang awal bermakna mereka perlu melihat kedudukan kewangan mereka, sama ada mereka mampu bayar balik pinjaman apabila moratorium tamat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya bagi peminjam yang berasakan mereka tidak mampu untuk berbuat demikian, perkara pertama yang perlu mereka lakukan ialah berunding dengan institusi kewangan masing-masing mengenai penjadualan atau penstrukturan semula pembayaran balik pinjaman mereka.

“Sebagai pemberi pinjaman, institusi kewangan sudah pasti mahu peminjam membayar balik pinjaman masing-masing, namun jika peminjam tidak mampu  berbuat demikian, mereka perlu menghubungi institusi kewangan masing-masing dan beritahu masalah yang dihadapi.

“Sebagai peminjam yang bertanggungjawab, anda boleh dapatkan nasihat daripada institusi kewangan anda kerana mereka boleh menimbang untuk menjadualkan atau menstrukturkan semula pinjaman anda,” katanya.

Pada masa sama katanya, pengguna boleh mendapatkan nasihat daripada AKPK melalui Program Pengurusan Kredit (DMP) yang bertujuan membantu peminjam kembali mengawal kewangan mereka.

“Menerusi DMP AKPK, kaunselor kami akan bekerja dengan anda untuk membangunkan pelan pembayaran balik pinjaman mengikut kesesuaian anda dalam rundingan dengan institusi kewangan yag terlibat. Perkhidmatan DMP ini adalah percuma kepada individu,” katanya.

Beliau turut mengingatkan peminjam agar mendapatkan maklumat daripada institusi kewangan masing-masing mengenai jumlah bayaran balik bulanan terkini yang perlu dijelaskan selepas moratorium berakhir kerana ada kemungkinan berlaku perubahan.

Nor Fazleen turut berkata semakan semula belanjawan bulanan pasca-COVID-19 adalah penting untuk memastikan peminjam dapat memenuhi komitmen hutang mereka.

Peminjam katanya perlu mengutamakan perbelanjaan penting seperti bayaran balik pinjaman, bil dan bayaran sewa serta mengelak perbelanjaan yang  tidak perlu.

Pada 25 Mac lepas, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan moratorium selama enam bulan, penukaran baki kad kredit kepada pinjaman berjangka dan penstrukturan  semula pinjaman korporat menerusi inisiatif bernilai sekurang-kurangnya RM100 bilion.

AKPK merupakan agensi milik penuh Bank Negara Malaysia yang ditubuhkan pada April 2006 untuk membantu individu mengawal kedudukan kewangan mereka termasuk memanfaatkan fasiliti kredit secara bijak.

Sejak penubuhannya sehingga Mei 2020, lebih sejuta individu mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK dan daripada jumlah itu, kira-kira 330,000 orang menyertai DMP.

Nor Fazleen berkata sebanyak 27,091 kes telah keluar daripada program itu, melibatkan jumlah tunggakan RM1,184.4 juta.

Mereka yang ingin tahu lebih lanjut tentang tip terkini pengurusan kewangan berhemat serta mempelajari pengurusan kewangan secara dalam talian boleh melayari laman web power.akpk.org.my atau laman Facebook, Twitter dan Instagram rasmi AKPK

— BERNAMA