Home English News Mahathir menerangkan “Mageran – Majlis Pemulihan Negara”

Mahathir menerangkan “Mageran – Majlis Pemulihan Negara”

954
0
SHARE
Ad

KOMEN YB TUN DR MAHATHIR MOHAMED, BEKAS PERDANA MENTERI MERANGKAP AHLI PARLIMEN LANGKAWI

MAGERAN – MAJLIS PEMULIHAN NEGARA

1. Pada 1969, apabila berlaku rusuhan di Kuala Lumpur, Kerajaan Perikatan mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk isytihar darurat.

2. Susulan dari itu Kerajaan, iaitu Perikatan, menubuh sebuah badan yang dinamakan MAGERAN (Majlis Gerakan Nasional) bagi menangani masalah yang mencetus rusuhan di Kuala Lumpur.

#TamilSchoolmychoice

3. Masalahnya ialah:-

i. Kemenangan Perikatan yang kurang dari dahulu.

ii. Pendapat orang Melayu yang tidak puas hati kerana merasa tidak terbela serta tidak mendapat nikmat dari kemerdekaan.

4. Tun Razak sebagai Pengerusi MAGERAN berjaya mendapat penyertaan parti lawan, iaitu Gerakan, Parti Progressive Perak, PAS dan Sarawak United Peoples Parti ke dalam Kerajaan. Perikatan bertukar menjadi Barisan Nasional.

5. Untuk masalah kedua Tun Razak memperkenal Dasar Ekonomi Baru.

6. Di masa yang sama Kuala Lumpur dipisah dari Selangor dan pemilihan ahli Majlis bandaran ditamatkan.

7. Tindakan Tun Razak melalui MAGERAN berjaya menstabilkan negara selama lebih dari 40 tahun.

MAJLIS PEMULIHAN NEGARA

8. Kali ini keadaan adalah lebih teruk. Walaupun di waktu darurat diisytihar masalah COVID-19 tidaklah begitu serius, tetapi darurat gagal.

9. Ini menyebabkan jumlah katil di hospital tidak mencukupi sehingga pesakit terpaksa dikuarantin di rumah. Ada yang maut di rumah kerana tidak dapat dirawat, khusus dengan bekalan oksigen.

10. Selain dari wabak, tindakan MCO menyebabkan ekonomi merosot dan kewangan Kerajaan terhakis teruk.

11. Di masa yang sama pula politik menjadi kucar-kacir kerana kelemahan Kerajaan. Ini disusuli dengan banyak masalah sosial termasuk membunuh diri.

12. Majlis Pemulihan Negara tidak akan ganti Kerajaan. Majlis ditugas untuk mengurang kes baru sehingga tercapai herd imuniti.

13. Selain masalah kemerosotan ekonomi dan kewangan akan dipulih oleh Majlis.

14. Untuk politik Parlimen akan bersidang dan tindakan Majlis akan dibentang kepada Parlimen. Percubaan untuk hapuskan Majlis Pemulihan Negara tidak akan diusahakan oleh Parlimen.

15. Yang menjadi masalah politik ialah percubaan merampas kuasa. Malangnya jika Kerajaan ditukar, Kerajaan baru juga akan menjadi lemah kerana majoriti yang tipis. Tindakan politik hanya akan meneruskan masalah.

16. Masalah persekolahan juga akan dikaji dan ditangani oleh Majlis.

17. Selain dari empat perkara ini, perkara lain tidak akan disentuh oleh Majlis. Sementara itu Kerajaan boleh menangani urusan-urusan biasa asalkan tidak menyentuh empat perkara tadi.

18. Majlis tidak diletak dibawah Kerajaan tetapi akan lapor secara langsung kepada DYMM Yang di-Pertuan Agong.

19. Kewujudan Majlis akan tamat apabila negara mencapai herd immuniti atau sebelum PRU 15.

20. Majlis in diperlukan untuk memasti keputusan-keputusan pelan tindakan untuk membantu rakyat dapat dibuat dengan segera dan dilaksanakan tanpa melalui terlalu banyak proses birokrasi.

21. Ahli-ahli Majlis akan terdiri dari pakar-pakar perubatan termasuk ahli psikiatri, pakar-pakar ekonomi yang tidak partisan dan berpengalaman di dalam membantu Negara mengatasi krisis, pakar pelaburan yang berpengalaman, penggerak sosial yang telah bukti keupayaan membantu rakyat ketika pandemik, tokoh-tokoh perundangan yang tidak partisan dan beberapa tokoh politik yang tidak bertindak mewakili parti. Keahlian tidak akan lebih dari 20 anggota. Tidak ada politik dalam Majlis Pemulihan Negara.

22. Nama-nama mereka akan disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenannya. Ahli-ahli Majlis akan berkhidmat secara sukarela, tanpa gaji kecuali diberi elaun yang perlu. Mereka perlu menganggap perlantikan mereka sebagai satu khidmat Negara atau national service.

23. Jika Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja menerima cadangan penubuhan Majlis Pemulihan Negara ini, nama-nama mereka akan dipersembahkan untuk perkenan.